Soalan-soalan yang wajar dijawab pimpinan PKR sempena Kongres PKR 2010


By Aktivis Reformasi

Berikut adalah soalan-soalan yang wajar dijawab oleh pucuk pimpinan PKR sempena Kongres PKR 2010 yang akan berakhir petang ini:

PEMECATAN S. JENAPALA DARI PARTI

Laporan polis telah dibuat oleh bekas Setiausaha Agung, Dato’ Salehuddin Hashim bahawa surat pemecatan bekas Timbalan Setiausaha Agung, S. Jenapala, dan tandatangan beliau dalam surat tersebut adalah palsu. Kenyataan blog Jonson Chong, yang juga ahli Biro Politik dan bekas Timbalan Setiausaha Agung, juga menyokong dakwaan bahawa surat itu palsu.

Soalan:

1. Selain dari mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan pihak polis dalam apa-apa penyiasatan, apakah tindakan selanjutnya oleh Parti dalam kes ini?

2. Apakah implikasi kes ini kepada pemilihan yang baru selesai sekiranya didapati sah dan muktamad bahawa surat pemecatan S. Jenapala adalah palsu?

3. Apakah penjelasan tentang minit mesyuarat Biro Politik bertarikh 30 Ogos 2009 yang masih membincangkan status Jenapala sedangkan surat pemecatan bertarikh 2 Febuari 2009 sudahpun dikeluarkan?

4. Apakah sebab sebenar disebalik pemecatan keahlian bekas Timbalan Setiausaha Agung, S. Jenapala? Adakah sebab beliau bankrap atau sebab beliau bercadang untuk menubuhkan parti baru?

5. Adakah Majlis Pimpinan Pusat (MPP) membuat keputusan untuk memecat Jenapala? Bila keputusan ini dibuat?

6. Mengapa keputusan pemecatan Jenapala tidak tercatat dalam minit mesyuarat MPP?

7. Sekiranya keputusan pemecatan Jenapala dibuat, mengapa surat pemecatan beliau tidak merujuk kepada keputusan MPP?

8. Bekas Timbalan Setiausaha Agung, Jonson Chong mengeluarkan satu kenyataan semalam mengenai pemalsuan surat pemecatan Jenapala. Apakah benar kenyataan bekas Timbalan Setiausaha Agung yang juga ahli Biro Politik itu?

9. Siapakah dari ibu pejabat Parti yang menghubungi Jonson untuk bertanya mengenai surat pemecatan Jenapala dan samada surat itu wujud?

10. Sekiranya pemalsuan dibuat oleh seorang atau beberapa kakitangan di ibu pejabat Parti, apakah tindakan yang akan diambil oleh Parti?

11. YB Saifuddin selaku Setiausaha Agung Parti berulang mengatakan rekod Parti menunjukkan Jenapala telah dibuang semasa Dato’ Salehuddin Setiausaha Agung. Apakah rekod yang dimaksudkan oleh Saifuddin, selain dari surat pemecatan yang dikatakan palsu oleh Dato’ Salehuddin dan Jonson Chong?

PEMILIHAN PKR

Pemilihan PKR yang berlangsung sejak bulan Ogos menyaksikan Parti menjalankan pemilihan berkonsepkan ‘satu ahli, satu undi’. Ahli-ahli Parti diberi peluang untuk memilih pemimpin mereka, dari peringkat cabang sehingga ke peringkat pusat, termasuk untuk sayap-sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan. Pemilihan ini dicemari dengan perbuatan salahlaku sejak proses pencalonan dan kempen, sehinggalah ke hari pemilihan dan pengiraan undi.

Soalan:

1. Peratus keluar mengundi semasa pemilihan baru-baru ini sekitar 9%. Apakah ini menunjukkan anggota PKR telah boikot kerana tidak bersetuju dengan pemilihan ini?

2. Peratus keluar mengundi semasa pemilihan baru-baru ini sekitar 9%. Apakah ini menunjukkan PKR sebenarnya tidak mempunyai 400,000 ahli, dan angka itu cuma disebut-sebut untuk memudahkan rundingan kerusi parlimen dan DUN antara DAP dan PAS?

3. Mengapa Dato Seri Anwar tidak bertanding sebagai Presiden?

4. Dato’ Seri dilantik sebagai Ketua Umum pada Kongres Parti 2007 kerana tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan politik oleh kerajaan. Memandangkan Dato’ Seri kini boleh memegang jawatan politik, termasuk menjadi Ketua Pembangkang, bukankah tiba masanya Dato’ Seri ‘memulangkan’ jawatan tersebut, dan dipilih sebagai pemimpin parti melalui proses pemilihan juga?

5. Jawatan Ketua Umum yang tidak dipilih oleh ahli Parti mirip dengan jawatan Pemimpin Agung Korea Utara. Tidakkah ini menjejaskan imej PKR yang berjuang untuk demokrasi?

6. Memandangkan Dato’ Seri Anwar sedang menghadapi kes liwat kedua ini, adakah benar Dato’ Seri Anwar menyusun ‘chai’ dan membantu berkempen untuk calon pilihannya, agar beliau mendapat sokongan padu seperti pada kes liwat pertama?

7. Apakah Dato’ Seri Anwar memandang usahanya menyuruh calon menarik diri dari bertanding, dan mengarahkan Ketua Cabang memastikan hanya calon-calon tertentu diberikan undi, satu bentuk penafian hak mengundi dan hak demokrasi ahli parti?

8. Semasa mengumumkan perlaksanaan ‘1 ahli 1 undi’, Naib Presiden ketika itu, YB Sivarasa berkata, “Parti ini akan menunjukkan kepada SPR bagaimana pilihanraya sepatutnya dijalankan”. Apakah pengajaran yang boleh diambil oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dari pemilihan parti kali ini?

9. Adakah jawatan-jawatan perlantikan dalam Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan mengikut jumlah yang dihadkan oleh Perlembagaan Parti, dan adakah perlantikan kali ini akan memberat kepada keupayaan dan inklusiviti, ataupun akan diisi oleh orang-orang yang setia kepada Dato’ Seri tetapi kalah pemilihan/tidak berani bertanding?

SELANGOR DAN PAKATAN RAKYAT

1. Jabatan Agama Islam Selangor telah melarang YB Nizar Jamaluddin dari berceramah di Selangor. Apakah pendirian PKR tentang larangan ini?

2. Jabatan Agama Islam Selangor telah melarang YB Nizar Jamaluddin dari berceramah di Selangor. Adakah kerajaan negeri Selangor tidak ada apa-apa pendirian atau kuasa dalam isu larangan ini?

3. Apakah untung atau faedahnya rakyat mengundi kerajaan PR sekiranya larangan atau sekatan kepada penceramah sama seperti kerajaan BN?

4. Adakah sekatan ke atas orang-orang tertentu dari memberi ceramah kepada rakyat sejajar atau selari dengan Ketuanan Rakyat dan kebebasan bersuara yang dilaung-laungkan oleh PKR?

5. Akhbar Selangor Times akan diterbitkan dengan sokongan kerajaan negeri Selangor. Apakah jenis sokongan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan sekiranya ianya membabitkan wang, berapakah jumlah bantuan tersebut?

6. Adakah PKR menerima kenyataan bahawa PKR adalah yang paling lemah secara organisasi, kualiti ahli dan program berbanding PAS dan DAP? Sejauh mana kemelut PKR mengancam Pakatan Rakyat?

7. Apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk mengubah persepsi rakyat dan pengundi, bahawa PKR ialah ‘weak link’ dalam Pakatan Rakyat?

8. Apakah sumbangan dan kejayaan Dato’ Seri Anwar sejak dilantik Penasihat Ekonomi Selangor?

9. Setakat ini berapa jumlah pelaburan daripada negara Arab yang telah dibawa masuk untuk pelaburan di Selangor oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor?

10. Sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, apa komen tentang penyelewengan kewangan oleh agensi-agensi kerajaan negeri seperti Yayasan Selangor, PKNS, KDEB dan sebagainya, yang nyatanya lebih teruk lagi daripada semasa Selangor diperintah oleh BN?

11. Krisis air Selangor meruncing sehingga kini, setelah dua tahun. Bukankah ini bayangan yang memimpin kerajaan negeri tidak pandai bersilat? Adakah kerajaan negeri tidak pandai menangani taktik-taktik seteru mereka di kerajaan pusat?

12. Jika dikaji kekuatan parti-parti dalam PR, ada 3 negeri yang sekarang dikongsi kuasa sesama sendiri oleh PR. Yang nyata, DAP boleh menawan Pulau Pinang dengan sendiri dan Kedah boleh ditawan oleh PAS dengan sendiri. Adakah Selangor sebuah negeri yang boleh ditawan oleh PKR dengan sendiri?

13. Apa komen Ketua Umum tentang kenyataan Lim Kit Siang hari ini BN akan merampas kembali negeri Selangor pada PRU 13?

14. Mengapa parti tidak senang dengan kewujudan ‘Third Force’ sedangkan ‘Third Force’ inilah yang membantu dalam penubuhan Deklarasi Rakyat yang kemudiannya digunapakai oleh Barisan Alternatif/Pakatan Rakyat dalam usaha-usaha kempennya semasa pilihan raya 2008, yang berakhir dengan kemenangan tsunami parti-parti pembangkang, khususnya PKR?

KONGRES PKR 2010

1. Adakah PKR memperjuangkan kebebasan bersuara?

2. Mengapa skuad keselamatan dan kakitangan PKR berlaku kasar semalam, sehingga hampir mencetuskan pergaduhan dengan ahli-ahli Parti yang ingin menyuarakan ketidakpuashatian mereka secara aman?

3. Adakah PKR memperjuangkan kebebasan media?

4. Mengapa skuad keselamatan dan kakitangan PKR mengugut akan menarik balik tag media yang diberikan kepada wartawan sekiranya wartawan tidak meliputi kongres PKR seperti yang dimahukan oleh parti?

5. Beberapa pewakilan dari Sabah & Sarawak mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana membantu membiayai kos perjalanan dan penginapan semasa kongres. Berapa perwakilan yang telah dibiayai kerajaan negeri Selangor untuk hadir ke Kongres kali ini?

6. Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa parti melalui kerajaan negeri Selangor membiayai penginapan percuma kepada perwakilan Sabah dan Sarawak dengan berlindung disebalik program seminar Islam dan kemasyarakatan yang diadakan di Hotel Armada PJ. Peserta program seminar dari Sarawak dan Sabah sebenarnya hadir untuk kongres, tetapi mendapat bilik percuma yang dibiayai kerajaan Selangor kerana kononnya menghadiri seminar. Apakah komen pimpinan PKR mengenai perkara ini?

7. Adakah sentimen perwakilan Kongres ini mewakili sentimen majoriti ahli-ahli parti?

8. Adakah insiden beberapa perwakilan yang tidak menerima notis untuk kongres disengajakan?

9. Benarkah bahawa Presiden Parti telah menghubungi dan mendapat persetujuan daripada (semua) Tuhan untuk mengisytiharkan Ketua Umum sebagai “anugerah Tuhan” untuk rakyat Malaysia? Adakah Azizan, Sukma atau Saiful Bukhari termasuk dalam semua rakyat Malaysia yang mendapat “anguerah Tuhan” ini?

10. Menyorot kembali prestasi Ketua Umum sebagai menteri kabinet dan Timbalan Perdana Menteri ketika berada dalam UMNO, bolehkah Ketua Umum dianggap sebagai “anugerah Tuhan” kepada rakyat Malaysia?

11. Sekiranya Dato’ Seri Anwar “anugerah Tuhan” kepada Parti, mengapa Parti kebelakangan ini nampak seperti dilanda bala?

LAIN-LAIN SOALAN

1. Satu-satunya harapan untuk menawan Sabah ialah dengan memikat pengundi-pengundi Bumiputera bukan Islam. Adakah tanggungjawab ini masih lagi Dato’ Seri Anwar amanahkan kepada Jeffry Kitingan?

2. PKR Sarawak menunggu-nunggu ketetapan mengenai calon PKR di pilihan raya DUN yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi. Apakah salahnya jikalau penentuan calon-calon dibuat lebih awal daripada biasa?

3. Bila Dato’ Seri Anwar hendak mengemukakan bukti kukuh seperti yang didakwa tentang wang sogokan kapada ahli-ahli parlimen PKR yang keluar parti? Apakah janji untuk mengeluarkan bukti ini, sama dengan janji 16 September 2008?

4. Adakah PKR membuat kajian tentang faktor-faktor yang mendorong pemimpin-pemimpin dan wakil rakyat meninggalkan parti? Jika ada, apakah faktor-faktor tersebut dan apakah langkah-langkah yang telah diambil untuk membendung gejala keluar parti?

4. Kehadiran penyokong-penyokong di mahkamah ketika perbicaraan liwat kali kedua ini kian merosot. Adakah ini disebabkan orang ramai sudah mulai percaya bahawa kes liwat kedua ini bukan konspirasi politik?

5. Sekiranya Dato’ Seri Anwar, sebagai presiden parti dipenjarakan, bagaimana ini akan mempengaruhi parti? Adakah ini akan membantu parti mendapat undi simpati seperti pada tahun 1999?

6. Apakah komen Ketua Umum terhadap akuan bersumpah yang dibuat oleh bekas pembantu-pembantu beliau, En. Rahimi dan En. Rasid?

7. Apakah motif sebenar usaha-usaha sengaja melengah-lengahkan perbicaraan kes Sodomi 2?

8. Apakah komen Presiden terhadap gesaan supaya Ketua Umum berundur buat sementara waktu dari arena politik sehingga kes liwat di mahkamah selesai? Tidakkah ini bercanggah dengan peraturan seorang pegawai kerajaan digantung kerja sehingga selesai kes mahkamah?

Salam reformasi.


Comments
Loading...