PAS yakin tawan semula Terengganu


(Harakah Daily) – PAS meletakkan harapan merampas semula Terengganu dari tangan Umno-Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-13 kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Memetik laporan The Malaysian Insider, keyakinan itu disandarkan kepada pentadbiran negeri yang tidak memberangsangkan di bawah Menteri Besar sekarang sejak gagasan itu menguasai semula Terengganu pada 2004.

“Kita yakin untuk merampas semula Terengganu… Umno menang di negeri itu dengan penipuan… apa pembangunan yang dibuat di sana? Hanya stadium runtuh sahaja,” kata Hadi seperti yang dilaporkan portal terbabit.

Ahli Parlimen Marang ini yakin PAS boleh merampas semula kerajaan negeri BN dengan “majoriti kecil” sambil mengatakan majoriti dua pertiga “tidak diperlukan” untuk mendapatkan mandat memerintah Terengganu.

“Dalam pilihan raya lepas, kita menang lapan kerusi walaupun BN menang tapi mereka tidak menang dengan majoriti besar. Bagaimanapun majoriti dua pertiga tidak penting, majoriti kecil sahaja sudah cukup,” tambah Hadi lagi.

Malah tambah Hadi, kebanyakan undang-undang yang diwartakan oleh PAS sebelum 2004 juga masih digunakapakai di bawah pentadbiran BN, seraya menjelaskan bahawa PAS lah yang lebih banyak membawa perubahan di Terengganu berbanding Umno dan BN.

“Di bawah pentadbiran PAS lebih 60,000 permohonan tanah telah diluluskan di Terengganu, Umno hanya berminat untuk menang dan masih banyak undang-undang yang diperkenalkan AS masih lagi kekal hingga hari ini,” tambah Hadi lagi.

Bahkan ujar Hadi, sambutan yang diterima oleh rakyat Terengganu juga begitu menggalakkan apabila pegawai-pegawai PAS dan dirinya sendiri melawat kawasan-kawasan undi di Terengganu.

“Kita bermula tahun lepas lagi dan bersambung tahun ini untuk melihat kemajuan dari segi jentera-jentera pilihan raya di setiap kawasan. Memang ada kekuatan dan ada juga kelemahan yang perlu diperbaiki. Tapi kita bersedia di peringkat pentadbiran pilihan raya yang dipengerusikan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman sebagai pengarah pilihan raya PAS pusat.

“Saya juga akan balik ke Terengganu setiap minggu untuk melawat setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kita juga mengadakan seminar-seminar kepada petugas pilihan raya, yang ini dalam peringkat negeri-negeri. Itu persediaan awal yang kita buat,” katanya.

PAS merampas Terengganu pada 1999 yang selama ini di bawah pentadbiran BN. Kerajaan pimpinan PAS itu tidak bertahan apabila tewas semula kepada BN pada 2004.

Selain Terengganu, Hadi juga berkata PAS turut akan memenangi lebih banyak kerusi di Johor yang menjadi kubu kuat Umno.

“Ini boleh dilakukan sekiranya orang-orang Melayu berubah dari segi pemikiran mereka untuk jadikan PAS sebagai alternatif kepada Umno dan ini boleh berlaku.

“Kita boleh menang dan tidak mustahil ia boleh berlaku, undi Melayu boleh berubah dan di Johor yang kuat Umno hari ini pun kita sudah ada dua kerusi.

“Secara jelas dan terang sehingga hari ini sudah tentu kita akan mempertahankan Kelantan, Kedah, sudah tentu Terengganu kita akan ambil balik manakala negeri-negeri lain adalah kerusi campuran yang akan kita bincangkan manakala Sabah dan Sarawak akan kita bincang dalam Pakatan Rakyat,” kata beliau.

 



Comments
Loading...