‘Umno bijak sembunyikan krisis dalaman’


Oleh Jamilah Kamarudin, Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Keputusan Umno menangguhkan pemilihan Majlis Tertinggi selama 18 bulan sehingga tahun 2012 mungkin memberi petanda parti itu mahu menyembunyikan kelemahan krisis dalamannya sementara menghadapi pilihan raya Sarawak dan umum (PRU) dalam masa terdekat.

Pengajaran daripada proses ‘ketelusan’ pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akhirnya hanya menampakkan kelemahan sendiri, Umno dilihat mengambil langkah selamat untuk menunda pemilihan yang sepatutnya berakhir pada tahun depan bagi memberi laluan kepada pimpinan baru meneraju parti sepanjang penggal 2011/2014.

Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Dr P Sivamurugan berkata penangguhan itu menguatkan lagi spekulasi tentang tarikh pilihan raya Sarawak yang dijangka berlaku seawal Mac tahun depan manakala PRU 13 pula diramalkan pada suku terakhir tahun yang sama.

Menyifatkannya sebagai satu percaturan yang baik bagi mengelakkan Umno kehilangan sokongan rakyat serta pengaruh antara parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) semasa pilihan raya nanti, Sivamurugan bagaimanapun berkata keputusan itu umpama ‘ubat penahan sakit’ yang hanya bersifat sementara.

“Saya percaya keputusan Umno itu mungkin hendak mengelakkan permusuhan dalaman parti yang boleh mengganggu peluang BN memenangi pilihan raya.

“Untuk memenangi sesuatu pilihan raya tak semestinya perlu bergantung kepada kelemahan parti lawan.

“Kalau Umno tak bertindak sebegini mungkin mereka berhadapan krisis dalaman yang serius sebab kalau parti sendiri tak kuat bagaimana nak lawan pihak musuh (dalam pilihan raya),” katanya kepada FMT hari ini.

Tiket penting

Pendapat sama turut disokong Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang secara terbuka mengkritik Umno kerana masih enggan mengamalkan budaya keterbukaan politik untuk setiap ahlinya.

Membandingkannya dengan PKR yang mengamalkan sistem pemilihan demokrasi satu ahli satu undi, kedegilan Umno mengekalkan status quo katanya hanya menampakkan lagi tanda-tanda wujudnya pergelutan antara ‘kem Najib’ dan ‘kem Muhyiddin’ dalam parti itu.

Aziz juga berkata, presiden Umno yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin bimbang kedudukannya akan terancam jika pemilihan MT Umno akan diteruskan kerana sukar meletakkan calon pilihan semasa pilihan raya nanti sekaligus menghalangnya daripada terus mengekalkan kuasa dalam parti.

Ini kerana katanya ‘pertarungan’ dalam pemilihan MT Umno itu nanti bakal menjadi tiket penting bagi pemenang dan barisan pilihannya menerajui parti itu sekaligus menjadi kuasa penentu dengan parti komponen lain dalam BN.

Selanjutnya Di Sini

 



Comments
Loading...