Baru Bian: Sentimen rakyat Sarawak kini lebih hangat berbanding tahun 1987


Lim Hong Siang, Merdeka Review

Pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987 sememangnya igauan Barisan Nasional, menyaksikan bagaimana kebangkitan rakyat, terutamanya Dayak yang hampir menjangkau ambang untuk menggulingkan kerajaan BN di bumi kenyalang ini.

“Pada tahun 1987, sentimennnya DayakismDayakism sangat hangat, menjadi tema, isu kempen.  Sekarang ini bukan lagi Dayakism.  Sekarang ini adalah keadilan.  Sekarang ini adalah tentang tanah adat, yang memberi kesan bukan hanya kepada orang Dayak, tetapi Melayu dan juga orang Cina dalam perkara pembaharuan lesen.  Yang ini kalau kita banding dengan…bagi saya dua tiga kali panas daripada 1987, pada isunya.”

Begitulah keyakinan yang ada pada Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian (gambar kiri) dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 26 November 2010, di Hotel Armada sebaik sahaja beliau mendarat di Selangor untuk menghadiri Kongres Nasional PKR yang berlangsung pada hari keesokannya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) memenangi 15 kerusi DUN, ditambah 5 kerusi dari PERMAS, melalui pakatan yang bergelar Kumpulan Maju.  Daripada jumlah 48 kerusi DUN, BN yang terdiri daripada PBB (14), SUPP (11) dan SNAP (3) hanya memperolehi 28 kerusi.  Dengan kata lain, majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak telah dinafikan.

Untuk Baru Bian, kuasa menumbangkan kerajaan BN di negeri Sarawak kini berada pada kemuncaknya dengan segala syarat yang sedia ada.  Dari segi persefahaman di kalangan pembangkang, Pakatan Rakyat merupakan pakatan parti politik yang paling kukuh berbanding segala bentuk kerjasama pembangkang yang lalu.  Dari segi penyebaran maklumat, kemudahan telekomunikasi seperti telefon bimbit, internet, malah stesen radio yang lebih bebas, digunakan sepenuhnya untuk menangkis serangan jentera perintah kerajaan.

Antara harapan dengan realiti

Sememangnya, politik ada kalanya ditentukan angka.  “Harapan” Baru Bian diuji dengan statistik sebermulanya wawancara ini.  Dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 2006, BN memenangi 62 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri.  Malah dalam PRU ke-12 pada 8 Mac 2008, pembangkang (DAP) hanya menang satu kerusi parlimen di Kuching (gambar bawah, kanan), daripada 31 kerusi parlimen, sebelum PRK Sibu pada Mei 2010 yang menambah satu lagi kerusi (gambar bawah, kiri).  Lebih-lebih lagi, sebanyak enam kawasan parlimen BN dimenangi dengan majoriti lebih 10 ribu undi, biarpun dilanda “tsunami politik” di Semenanjung.

“Bagi kita, yang selalu dikatakan dalam politik tidak ada sesuatu yang mustahil (impossible).  Kita boleh menoleh ke belakang dan tengok apa yang telah terjadi dalam tahun 2006 pada peringkat negeri, dan tahun 2008 bagi parlimen,” katanya.

“Saya berpendapat, saya haraplah, apa yang sudah jadi, khasnya dengan keputusan tahun 2008 itu… Sekarang ini saya berpendapat, setelah lawatan kita di akar umbi, kita merasa satu sentimen yang agak kuat, menghendakkan satu perubahan.  Ini adalah satu sentimen yang luar biasa sejak 8 Mac 2008,” sambung Baru Bian.

Baru Bian semestinya menyedari bahawa “harapan besar” tanpa digalas “kerja akar umbi”, hanya tinggal “retorik” semata-mata.  Beliau yang dikempenkan sebagai “bakal Ketua Menteri Sarawak” di laman facebook, dipersoalkan sejauh manakah persiapan PR ke arah pengambil-alihan kerajaan negeri Sarawak.

Sejauh manakah persiapan PR?

Beliau bersetuju bahawa calon pilihan raya perlu turun untuk bekerja bersama rakyat di akar umbi, untuk meraih kepercayaan dan sokongan penduduk tempatan.  Usaha sedemikian semestinya memakan masa.  Pendek kata, ia mungkin terlalu lewat untuk mendapat sokongan penduduk seandainya calon dikenalpasti pada saat-saat terakhir.  Persoalannya, sejauh manakah PR bersiap-sedia dalam isu rundingan pengagihan kawasan pilihan raya?

“Tentang pengagihan konsituensi, sekarang ini kita sudah bermesyuarat dengan Pakatan Rakyat.  Dua kali sudah.  Dalam mesyuarat itu, kita sudah bersetuju dengan kira-kira 90% kerusi ataupun konsituensi DUN di Sarawak.  Hanya sedikit, mungkin 10% daripada 71 kerusi itu belum lagi disetujui.  Itu kita sudah serah kepada pemimpin kita di Kuala Lumpur, PR Presidential Council untuk kita terus berbincang,” jawapnya.

Ketika ditanya sama ada “calon telah dikenalpasti”, Baru Bian sekadar berkata beliau percaya nama calon untuk parti masing-masing telah disenaraikan, namun perlu dibincang, dikaji sebelum membuat keputusan. MerdekaReview mempersoalkan, beliau bersetuju bahawa calon perlu membuat persiapan awal untuk bekerja bersama penduduk untuk meraih sokongan, tetapi pada masa yang sama, calon PR masih belum dikenalpasti – pada saat-saat Ketua Menteri Sarawak, Abdul Taib Mahmud sudah mendapat ilham tentang tarikh pilihan raya negeri akan datang…

“Ya betul!  Itu betul.  Tetapi itu tidak bermaksud di semua konsituensi itu ada dua, tiga, (atau) empat orang.  Ada juga konsituensi yang obvious (nyata), di mana satu sahaja calon yang kita ada.  Ada di tempat lain mungkin dua, ada juga tiga (orang).  Itu biasa.  Tapi kita menggalakkan mereka untuk bekerjasama, untuk menjalankan aktiviti bersama-sama di kawasan mereka itu.  Dan akhirnya siapa yang patut (bertanding)… kita anggap yang boleh menang, itulah calon kita!”

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...