Gelombang rakyat bersama Pakatan tumbangkan BN


(Free Malaysia Today) – Parti-parti komponen Pakatan Rakyat yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Justeru, Guan Eng berkata, Pakatan perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.

“Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka Pakatan berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN,

“Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan Pakatan yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu,

“Konvensyen Kebangsaan Pakatan kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama Pakatan terakhir sebelum PRU ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan, ” katanya dalam kenyataan.

BN semakin rakus dalam membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo berkuat kuasa beberapa hari lalu.

Konvensyen Kebangsaan Pakatan kali kedua akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada19 Disember ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 3,000 perwakilan termasuk pimpinan utama Pakatan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng sendiri di samping beberapa perwakilan asing.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...