Mampukah Kuasa Ketiga Ubah Politik Negara?
Hari ini kita digemparkan apabila secara rasminya blogger yang penuh kontroversi, Raja Petra Kamarudin atau lebih dikenali sebagai RPK mengumumkan buat pertama kalinya nama seorang peguam, Malik Imtiaz Sarwar sebagai antara calon ‘beliau’ yang bakal mewakili pihak Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya umum akan datang.
Bukan itu sahaja, RPK yang menjadi penyokong kuat Pakatan Rakyat (PR) selama ini dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menukar pendirian.
Malah PRK sendiri dilihat mengemudi pembentukan Kuasa Ketiga dari dalam buangan sukarelanya di London melalui penubuhan Malaysian Civil Liberties Movement (MCLM). RPK dikatakan kecewa dengan keadaan dalaman PKR hari ini apabila Datuk Zaid Ibrahim yang juga rakan baiknya telah dilihat beliau sebagai ‘mangsa keadaan’ kepada percaturan politik Anwar.
Mungkin ramai di antara kita tertanya-tanya apakah itu Kuasa Ketiga atau dalam Bahasa Inggerisnya disebut sebagai “Third Force” di dalam arus politik nasional hari ini.
Apakah itu politik ’Kuasa Ketiga’?
Kuasa Ketiga adalah satu kumpulan politik berbentuk kepartian dan kesepakatan yang ditubuhkan bagi mewakili satu kumpulan yang besar lagi berpengaruh yang berkongsi arah tuju perjuangan politik di peringkat nasional. Perjuangannya adalah berbeza dengan apa yang diperjuangkan oleh dua kuasa politik yang pertama itu. Kuasa Ketiga mampu merubah lanskap politik dengan menjadi kuasa penentu kepada pembentukan sesuatu kerajaan selepas pilihanraya. Dalam konteks Malaysia, dua kuasa pertama yang dimaksudkan ialah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
Kuasa Ketiga yang digembar-gemburkan wujud di Malaysia ini adalah satu kumpulan politik beraspirasi baru yang bakal memberi tekanan kepada kedua-dua kuasa yang sedia ada terutamanya dari segi merebut undi di dalam satu-satu pilihanraya sama ada ia pilihanraya umum ataupun kecil. Lazimnya, pemimpin kumpulan Kuasa Ketiga ini adalah meliputi mereka yang pernah berada dalam dua kumpulan sebelum ini tetapi kerana kecewa dan perjuangan politik yang berbeza menyebabkan mereka membentuk pakatan baru.
Selain itu, Kuasa Ketiga juga semakin menempa tempat di hati para pengundi di kebanyakan negara yang mengamalkan demokrasi seperti Amerika Syarikat, New Zealand, Kanada dan United Kingdom (UK), pemimpin-pemimpin pertubuhan bukan kerajaan atau NGO adalah kebanyakannya akan terjun menjadi pemimpin Kuasa Ketiga di negara masing-masing. Kuasa Ketiga yang boleh dikategorikan sebagai sangat berjaya adalah yang wujud di UK. Kita akan berbicara tentang Kuasa Ketiga di luar Malaysia nanti.
Kenapa wujud Kuasa Ketiga di Malaysia?
Kewujudan Kuasa Ketiga di Malaysia disebabkan oleh faktor kelemahan oleh BN dan PR. Ramai yang berada di dalam Kuasa Ketiga ini berasa kecewa atau tidak berpuashati dengan cara pengurusan perjuangan dan idealisma politik oleh parti masing-masing yang memaksa mereka meninggalkan parti. Sebagai contohnya, kelemahan dan ketelusan di dalam PKR telah menyebabkan ungkapan Kuasa Ketiga hari ini semakin menonjol.
Ramai yang melaporkan tidak dapat menerima apa yang dikatakan berlakunya ’dinasti Anwar’ di dalam PKR yang sepatutnya menjadi satu wadah perjuangan rakyat marhaen apabila anaknya sendiri, Nurul Izzah Anwar terpilih menjadi Naib Presiden pada usia yang muda. Ada juga yang tidak berpuashati dengan perjalanan pemilihan pucuk pimpinan PKR baru-baru ini dan ada juga melihat kelemahan PKR di dalam pentadbiran sebagai kerajaan terutamanya di negeri Selangor.
Sebenarnya, kemunculan Kuasa Ketiga di dalam negara banyak disebabkan oleh kepincangan di dalam PKR dan kurang disebabkan oleh masalah-masalah dalaman parti-parti komponen PR yang lain iaitu PAS dan DAP. Tetapi tidak dinafikan bibit-bibit permulaan Kuasa Ketiga ini sebenarnya sudah lama bermula dan ia berasal dari kelemahan UMNO dan parti-parti komponennya yang lain di dalam BN seperti MIC.
Perkasa Kuasa Ketiga?
Bercakap mengenai Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), kita boleh katakan Perkasa mempunyai kriteria untuk dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga tetapi tidak sepenuhnya. Ini adalah kerana penubuhan Perkasa hanya dibuat sebagai NGO dan mengelak membentuk kuasa kepartian.
Membentuk parti adalah syarat utama bagi dikategorikan sebagai Kuasa Ketiga. Ramai yang berpendapat bahawa Perkasa dilihat mampu membentuk Kuasa Ketiga tetapi hanya jika UMNO sendiri menjadi lemah.
Saya boleh mengagak bahawa Perkasa sebenarnya mempunyai cita-cita menjadi parti politik Melayu. Lebih-lebih lagi apabila dipimpin oleh ahli Parlimen Bebas, Datuk Ibrahim Ali dan mendapat sokongan kuat daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Seperti mana yang kita sedia maklum,
penubuhan Perkasa dibuat semasa UMNO dipimpin oleh Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dan semua maklum bagaimana buruknya hubungan Pak Lah dengan Tun Dr. Mahathir. Sokongan Tun Mahathir kepada Perkasa adalah sebagai memberi tekanan kepada Pak Lah.
Maka, Perkasa dibentuk terlebih dahulu menjadi NGO bagi memberi peluang kepada UMNO untuk mengukuhkan dirinya semula. Kini apabila tampuk UMNO dipegang oleh Datuk Seri Najib Razak dan perpaduan di dalam UMNO dapat diperbaiki maka Perkasa dijangka tidak akan meneruskan cita-citanya di dalam menceburi politik secara rasmi. Namun begitu, daripada maklumat yang boleh dipercayai,
walaupun Tun Mahathir mulai senang dengan kedudukan UMNO sekarang di bawah Najib, beliau didakwa masih mengaturkan kemungkinan tetap adanya calon Kuasa Ketiga di dalam pilihanraya akan datang yang disokong oleh Perkasa secara lembut. Beliau dikatakan berbuat demikian sekadar untuk mengukur sejauh mana kekuatan UMNO selepas era-Pak Lah. Wallahualam.
Satu lagi contoh jelas Kuasa Ketiga yang muncul dalam tiga tahun lepas ialah Hindraf dan Human Rights Party (HRP) yang disebabkan dakwaan kegagalan MIC sebagai wakil masyarakat India di dalam kerajaan BN di dalam memperbaiki mutu kehidupan masyarakat itu sejak merdeka.
Malah, Hindraf juga tidak percaya kepada kemampuan PR bagi memperjuangkan mereka dan keadaan ini amat sesuai untuk kita takrifkan sebagai satu contoh kewujudan ’komponen’ terawal Kuasa Ketiga di negara kita. Oleh kerana masyarakat India adalah kecil maka kewujudannya tidak dapat dirasai sebagai cabaran atau tekanan kepada BN dan PR sebagai kuasa yang mampu mengurangkan majoriti mereka di dalam satu-satu pilihanraya.
Meskipun pengundi Cina menolak parti MCA dan Gerakan semasa pilihanraya yang lepas, mereka bersepakat menyokong DAP yang secara tidak langsungnya memberi kekuatan kepada PR keseluruhannya. Faktor kekuatan DAP yang masih dilihat sebagai alternatif parti kaum Cina menyebabkan Kuasa Ketiga tidak wujud secara jelas di dalam masyarakat Cina.
Jika adapun, segelintir pemimpin kurang penting dari Gerakan dan parti-parti berteras kaum Tionghua di Sarawak yang membentuk sebuah parti baru yang dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM) pada tahun lepas. Kekuatan PCM tidak signifikan untuk membentuk Kuasa Ketiga.
Sepertimana pentingnya kuasa politik Melayu menentukan kerajaan di negara ini kepada BN dan PR, ia juga amat penting kepada Kuasa Ketiga. Dengan adanya Hindraf/HRP dan PCM yang mewakili India dan Cina masih tidak mampu mengukuhkan Kuasa Ketiga. Episod terkini dalam politik tanah air di dalam PR yang menyebabkan bekas calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti dan berjanji membentuk parti baru pastinya kesempatan yang dilihat bagus bagi mengukuhkan Kuasa Ketiga.
Kuasa Ketiga tidak semestinya parti serpihan
Mungkin ada antara kita yang berpendapat Kuasa Ketiga ini adalah kumpulan serpihan daripada BN dan PR. Mungkin ada kebenarannya hakikat itu tetapi perlu dijelaskan sekali lagi pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Kuasa Ketiga juga merupakan mereka yang tidak pernah pun menyertai BN dan PR tetapi terlibat di dalam NGO-NGO dan berpandangan yang tidak sehaluan sama ada dengan perjuangan BN dan PR.
Sepertimana Zaid yang kini dilaporkan sudah menyertai sebuah parti dorman iaitu Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) dan dijangka menjadi Presiden terbaru AKIM tidak lama lagi, kita tidak boleh menyebut AKIM sebagai parti serpihan kerana parti itu telah wujud sejak tahun 1995.
Jika Zaid membuka parti baru mungkin parti berkenaan boleh disebut sebagai serpihan. Namun begitu, untuk mendefinisikan Kuasa Ketiga, isu parti serpihan tidak timbul sama sekali.
Untuk Kuasa Ketiga sama ada sebagai sebuah parti (tidak kira batul-betul baru atau serpihan) atau sebuah lagi gabungan parti-parti, mereka perlukan sekurang-kurangnya 20 peratus sokongan daripada undi rakyat Malaysia. Oleh itu, untuk mengatakan wujudnya Kuasa Ketiga secara sepenuhnya di Malaysia hari ini masih terlalu awal. Ini kerana kita belum lagi melalui satu proses pilihanraya umum untuk mengukur sejauh mana mereka yang mendakwa menjadi Kuasa Ketiga ini mampu mengaut 20 peratus undi popular bagi melayakkan mereka menggunakan istilah tersebut.