Rentak perkembangan orang muda tidak lagi yakin dengan kerajaan mahupun pembangkang


Written by Faisal Mustaffa, CPI 

Malaysia sebuah negara yang unik di mana di atas nama demokrasi, masih mengamalkan undang-undang kuku besi. Pelbagai siri protes demonstrasi dan penghantaran memorandum dianjurkan oleh pelbagai pihak tetapi ianya diakhiri dengan penangkapan para demonstran, diberhentikan kerja, dikeluarkan dari universiti dan sebagainya.

Pelbagai sekatan dibuat ke atas pelajar universiti. Mereka tidak dibenarkan berpolitik, didakwa hanya kerana didapati memiliki bahan-bahan kempen pembangkang, diberi amaran untuk tidak menyertai demonstrasi dan sebagainya.

Di Toronto, Kanada bulan lepas, ribuan pelajar institusi pengajian tinggi telah berdemonstrasi kerana kenaikan yuran pengajian. Mereka menuntut supaya yuran pengajian dihapuskan sama sekali. Mereka telah menuntut Perdana Menteri Dalton McGuinty supaya memansuhkan yuran pengajian tinggi di seluruh Kanada. Kebangkitan pelajar-pelajar di Toronto itu seolah-olah telah mencetuskan gelombang kebangkitan pelajar di seluruh dunia, khususnya di United Kingdom, Filipina dan juga Malaysia.

Mengikut jejak pelajar-pelajar Kanada pada bulan November, ribuan pelajar di London (gambar atas) berdemonstrasi kerana kenaikan yuran pengajian mereka hampir tiga kali ganda. Ketika demonstrasi, berlaku beberapa pertembungan dengan pihak polis yang menyebabkan banyak kecederaan dan 43 tangkapan. Dalam demonstrasi tersebut juga berlaku serangan ke atas kereta Putera Charles dan isterinya Camilla, Duchess of Cornwall sewaktu dalam perjalanan mereka ke Paladium London. Walau bagaimanapun parlimen Westminster meluluskan kenaikan yuran yang akan berkuatkuasa pada 2012.

Pelajar-pelajar universiti awam di Filipina pula telah berarak ke Dewan Senat pada 1hb Disember yang lalu untuk membantah potongan peruntukan bajet bagi universiti-universiti dan kolej-kolej awam.

Di tanahair pula, pelajar-pelajar telah menunjukkan solidariti bersama rakyat Selangor dalam perhimpunan bantah penswastaan air Selangor yang berlaku di perkarangan Masjid Negara pada Disember 5 yang lalu. Pelajar-pelajar kita juga telah berdemonstrasi dan menyerahkan memorandum kepada pihak Perdana Menteri berhubung isu kenaikan harga barangan di Malaysia.

Sungguhpun masih belum layak membayar cukai, namun para mahasiswa harus diberi ruang bagi menyuarakan hasrat hati mereka. Tetapi adakah perkara ini dipertimbangkan oleh pihak kerajaan?

Gerakan mahasiswa disekat

Tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) tidak diambil kisah sehingga seorang mangsa dihentak kakinya oleh anggota FRU sehingga mengakibatkan mangsa tersebut memfailkan saman.

Tuntutan Gerakan Anti-ISA mendesak supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan. Adakah Kementerian Dalam Negeri mempertimbangkannya?

Semuanya seolah-olah tidak didengari.

Pada suatu waktu dahulu, terdapat National Union of Malaysian Students (NUMS) atau lebih dikenali sebagai Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia diwujudkan bagi menjaga kepentingan pelajar universiti secara berdikari.

Atas inisiatif dan semangat yang ada pada NUMS dan kemudiannya diharamkan pada tahun 1974, mahasiswa kini cuba untuk menghidupkan semula pertubuhan tersebut yang terdiri daripada wakil-wakil daripada pelbagai universiti awam dan swasta. Mereka berusaha keras agar pertubuhan mereka ini dapat didaftarkan sebagai satu pertubuhan baru yang sah disisi undang-undang.

Selaku jurucakap NUMS baru, Amir Fared menyatakan bahawa mereka memilih untuk menghidupkan kembali semangat NUMS kerana nilai sejarah yang terdapat pada pertubuhan tersebut, sekali gus menarik minat orang muda untuk mempelajari sejarah negara. Walau bagaimana pun, beliau menyatakan dengan tegas bahawa pendekatan yang akan diambil oleh NUMS baru adalah sedikit berbeza dan tidak akan lari daripada ruang lingkup undang-undang yang sedia ada seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Ide untuk menghidupkan semula NUMS tercetus hasil daripada kebangkitan pelajar-pelajar di London, namun NUMS tidak bercadang untuk melanggar mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dengan mengadakan perhimpunan haram dan sebagainya.

Seperti Britain, Kanada dan Filipina, Malaysia juga sudah tidak yakin dengan kerajaan mahupun pembangkang.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...