Berbicara tentang Reformasi PKR…
PKR dan Barisan Nasional telah mengadakan kongres/konvensyen-nya baru-baru ini. Tidak kurang juga peristiwa yang menimpa PKR kebelakangan ini. Sesungguhnya PKR boleh mempersalahkan media arus perdana kerana memperbesarkan “kekecohan” yang berlaku dalam partinya, namun pada hakikatnya, kemegahan dan semangat PKR telah luntur berbanding dua tahun yang lalu.
Secara perbandingannya, semangat BN pula dipacu dengan kemenangan dua PRK yang terdekat. Malah, BN yang kini semakin stabil dari pimpinan atasannya, sering menyindir PR dengan nada yang sinis. Seandainya PRU diadakan sekarang juga, PR tidak semestinya mengulangi kegemilangan yang dicapainya pada tahun 2008.
Mengapa kekuatan PR, terutamanya PKR luntur dalam tempoh dua tahun? Meskipun tidaklah sampai tahap meranap, namun seandainya tidak bermuhasabah, ia bakal menyusut. Situasi sedemikian sememangnya menjejaskan sistem dua parti yang baru muncul pada tahun 2008. PKR wajar mengkaji kelemahannya dari segi kualiti anggota, struktur organisasi, pimpinan, strategi dan sebagainya.
Memperbaiki kualiti anggota PKR
Bukan sesuatu yang baru bahawa anggota PKR berasal dari latar belakang yang berbeza, malah memperlihatkan kualiti yang jauh berbeza. Masalah ini juga dihadapi parti lain, tetapi nampaknya lebih ketara dalam PKR. Punca masalahnya adalah penerimaan keanggotaan secara sewenang-wenangnya. Ini kerana mobilisasi diperlukan semasa berkempen, maka parti politik di Malaysia perlu menarik sebanyak anggota yang mungkin untuk memperkasa organisasi dalam parti dan mengerah sokongan.
Namun, seandainya sebilangan besar anggota parti itu sekadar “gerombolan”, maka ia akan membebankan parti. “Pendidikan politik” perlu dimantapkan agar anggotanya dipandu ideologi, lantas partinya berideologi. Namun, inilah yang paling kekurangan dalam aktiviti parti setakat ini.
Organisasi tidak cerminkan keperluan
PKR meniru struktur organisasi parti lain dalam negara, terutamanya musuh politiknya UMNO. Kritikan ini pernah dibangkitkan sebelum ini. Cuma, pernahkan PKR memikirkan, apakah kekurangannya yang sebenar? Apa yang paling diperlukannya? Dan apakah struktur organisasi yang mampu mencerminkan keperluan ini?
Saya yang bukan anggota parti memang tidak tahu jawapannya. Tetapi adalah kurang bijak untuk PKR jika sekadar meniru struktur organisasi musuh politiknya tanpa mempertimbangkan keperluan diri yang sebenarnya. Misalnya, pengkhususan peranan dalam struktur pimpinan tertinggi PKR agak mudah, hanya diwujudkan beberapa jawatan seperti Ketua Penerangan, Pengarah Strategi dan sebagainya. Apakah ia mencerminkan keperluan dalam parti? Apakah masih ada peranan yang perlu dikhususkan kepada pemimpin tertentu untuk menjalankan fungsinya?
Pada masa yang sama, terdapat institusi yang pada hakikatnya tidak diperlukan, tetapi diwujudkan untuk memenuhi ego sesetengah orang. Tetapi kewujudan institusi ini hanya membazir sumber dan menambah perselisihan dalaman. Apakah benar perlunya sayap Angkatan Muda Keadilan dan Wanita? Atau ia diwujudkan kerana ia wujud dalam organisasi dalam negara?