Konvensyen PR: Apa yang dicapai, dan apa yang terlepas
(Siasah Daily) – Konvensyen Pakatan Rakyat hujung minggu lalu telah berjaya mempersembahkan gabungan itu sebagai pesaing paling jelas kepada Barisan Nasional dan paling mampu menggantikan BN sebagai kerajaan pusat.
Buku jingga Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia yang diedarkan menyenaraikan program PR untuk dinilai, menegaskan persediaan PR untuk melaksanakan tugas sebagai pemerintah dengan lebih berkesan.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan perasmian telah menggariskan usaha kerjasama yang realistik dan cadangan praktikal meletakkan calon-calon yang bersih.
Kepentingan usaha itu dapat dilihat berdasarkan cabaran daripada kumpulan-kumpulan yang dianggap kuasa ketiga dalam politik Malaysia seperti Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), Gerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) dan kumpulan seperti Hindraf.
MCLM dalam satu kenyataannya menegaskan pencalonan calon bersih, dan pada masa sama mahu bertanding di bawah tiket PR.
Berdasarkan perkembangan ini, PR dalam Pilihan Raya Umum ke-13 nanti perlu menyenaraikan calon-calon terbaik, yang sekiranya diletakkan bersebelahan calon-calon lain akan jelas kelebihan mereka, sekiranya PR tidak mahu kerusi mereka disaingi juga oleh pihak lain.
Buku jingga yang dikemukakan mungkin satu kelebihan, kerana berbanding kumpulan lain, PR telah memperincikan progam dengan jelas dan secara kolektif sebagai sebuah pakatan pilihan raya.
Satu perkembangan menarik ialah parti-parti PR, terutama PAS dan DAP telah menunjukkan kompromi dalam hal ideologi, melibatkan isu negara Islam.
Ini walau bagaimanapun tidak boleh dilihat sebagai satu kemuncak kerjasama parti-parti PR melainkan satu proses yang masih berjalan dan dirundingkan. Tawar-menawar dalam hal ini masih berjalan dan boleh berubah secara dramatik pada bila-bila masa.
PAS sama sekali tidak boleh membaca dengan berlebihan kenyataan Karpal Singh itu dan menganggap debat isu tersebut sebagai sudah selesai dan DAP menerima ide negara Islam PAS.
Apa yang berlaku hanya satu kompromi, dan menunjukkan PR ialah satu usaha sama parti-parti pembangkang dalam hal yang dipersetujui sahaja.
Ungkapan popular Putrajaya masih kedengaran, walaupun tidak sekerap sebelum ini. Dalam hal ini, kesepakatan dan program yang lebih terperinci yang dipersembahkan mungkin lebih mendalam dan berkesan serta menjanjikan berbanding ungkapan Putrajaya yang sudah terlalu banyak digunakan.
Ucapan-ucapan pemimpin, termasuk oleh Lim Guan Eng dan Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan lebih kepada untuk menarik sorakan dan membina sentimen feel good tanpa menjelaskan sebarang isu baharu.
Lim mempromosikan lagi kerajaannya sebagai mengutamakan Melayu dengan mengemukakan satu daripada banyak data yang ada, yakni penganugerahan kontrak kerajaan. Isu-isu seperti tapak perniagaan di kawasan percutian, penggunaan bahasa Melayu dan banyak lagi isu kerajaan tempatan tidak disentuh.
Anwar pula menarik khalayak dengan isu Apco dan Israel, menumpukan perhatian terus kepada Umno dan Apco tanpa menjawab laporan kenyataan pemimpin Singapura Lee Kuan Yew mengenai dakwaan liwat terhadapnya.
Persembahan dramatik Anwar telah mengalihkan tumpuan konvensyen kepada Apco dan Umno.
Ucapan Karpal pada akhir konvensyen menjadi satu lagi ucapan menarik sorakan hadirin, dengan serangan peribadi terhadap bekas-bekas ahli PKR dengan kasar dan tidak bersopan, termasuk menggunakan perkataan “celaka.”
Apa yang ingin disampaikan boleh dijelaskan dengan lebih berkesan tanpa sebarang usaha mensensasikan isu tersebut oleh Karpal.
DAP boleh dianggap sebagai pihak yang mendapat manfaat terbesar daripada konvensyen yang diadakan di negeri di bawah pentadbirannya itu.
Ketua Menteri Lim telah mengambil kesempatan memberikan sumbangan kepada rakyat negeri itu pada waktu rehat, selepas menyenaraikan kebaikan-kebaikan kerajaan negeri pada ucapan awal.
Ucapan presiden PAS mungkin yang paling tidak mendapat perhatian, kerana nada serius dan bersifat introspektif terhadap pakatan pembangkang itu, ketika sebahagian besar ahli dan penyokong PR masih menagih retorik-retorik, termasuk pujian-pujian dan kecaman terhadap musuh.