Jangan marah-marah dulu! – UMNO tidak akan berubah


Aspan Alias

Rombakkan yang dilakukan oleh UMNO bagi Perhubungan Negeri-Negeri diumumkan semalam. Rombakkan ini telah ditunggu dengan sabar oleh ramai ahli-ahli UMNO dan semalam saat yang ditunggu-tunggu itu sampai. Rupa-rupanya tidak ada rombakkan pun. Yang ada hanyalah ibarat menganjak dan mengalih anak-anak pokok jantan yang tidak mungkin menghasilkan buah. Pokok jantan selalunya memang rimbun daunnya tetapi tidak berbuah dan tidak berhasil.

Negeri Kedah merupakan Negeri yang sangat penting untuk UMNO membariskan pemimpin yang berimej baik dan diterima oleh rakyat Kedah sebagai barisan yang akan mengambil alih tempat Dato Seri Azizan dan kerajaan tajaan PAS disana. Jika barisan yang diumumkan itu merupakan dari kumpulan yang ditolak rakyat dahulu, berikanlah dalil-dalil bagaimana meraka hendak merampas kembali kuasa melalui pilihanraya umum nanti. Nampaknya macam jauh panggang dari api, atau bermimpi disiang hari sahaja.

Mereka pernah berkuasa tetapi oleh kerana kelemahan meraka jugalah mereka ditolak. Jika mereka telah ditolak bagaimana pula mereka hendak melakukan usaha untuk kembali diterima rakyat? Bashah merupakan seorang pemimpin yang menjadi isu diKedah, tetapi pucuk pimpinan masih memilih Bashah juga sebagai peneraju untuk mengambil alih kerajaan negeri Kedah dari PAS. Kawan saya dari Kedah memberi tahu saya, “habislah bro! habis!”

Begitu jugalah diPulau Pinang dan negeri-negeri lain yang nampaknya tidak ada perubahannya. Perubahan hanya diperingkat Timbalan Pengerusi tetapi mereka ini adalah dari kumpulan yang sama dengan imej yang sama dan karaktor yang sama. Jadi dimanakah yang dikatakan perubahan itu? Jika kita hanya menukar baju tetapi masih lagi dengan tubuh yang sama, bagaimana hendak mengatakan sudah ada perubahan diperingkat perhubungan?

DiTerengganu, rata-rata rakyat disana mengatakan yang penukaran Pengerusi Perhubungan dengan mengambil dan memilih Ahmad Said sebagai usaha untuk mempersiapkan BN disana untuk mengekalkan pilihan rakyat diTerengganu dalam pilihanraya yang akan datang tidak akan membuahkan apa-apa. Katalah apa yang tuan-tuan hendak dikatakan; dengan barisan kepimpinan yang baru yang diumumkan semalam Terengganu memang sudah hampir pasti menghadapi kekalahan.

Memang tidak sedap mendengar pandangan saya ini, tetapi dimana dia kebenaran untuk menafikan pandangan saya ini? DiPahang Adnan Yaakop adalah pemimpin yang telah melepaskan dua kerusi Parlimen diPahang dan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri. Tetapi beliau masih dikekalkan sedangkan ramai dibawah ini mengharapkan perubahan disana…tetapi tidak juga berubah.

DiPerak Zambri Kadir mengahadapi masalah dokongan dari Bahagian-Bahagian dinegeri tersebut, tetapi beliau tetap menjadi peneraju untuk mengekalkan kerajaan yang dirampas secara tidak demokratik itu. DiSelangor UMNO sedang mencari dan membelek-belek kesalahan kerajaan PR. Yang kecil diperbesarkan tetapi tidak pula berdaya membuktikan kepada rakyat yang dinegeri itu tidak ada berlaku rasuah mega semasa pimpinan BN dahulu.

Betullah Presiden Parti menjadi Pengerusinya tetapi Presiden parti sendiri menjadi bahan umpatan dimana-mana dan beliau tidak dapat hendak melenyapkan pandangan serong rakyat terhadap beliau. Jika ada yang bertaruh yang PR akan kekal berkuasa diSelangor banyak yang mengatakan mereka akan menang pertaruhan itu.

DiNegeri Sembilan PR hanya memerlukan 6 kerusi sahaja lagi untuk berkuasa, tetapi UMNO NS tidak ada perubahan langsung. Dalam pada itu rata-rata mengatakan yang DUN Pilah, Johol dan Juasseh diKuala Pilah akan jatuh jika pimpinan negeri masih tidak berubah. Nun diJelebu dikatakan ramai DUN Chennah akan gugur. Di Jempul katanya, Jeram Padang akan jatuh ketangan PR jika PR meletakkan calun Melayu disana.

Perpecahan yang dicetuskan oleh pimpinan negeri diJempul akan menambah ketenatan BN diJempul. Bagaimana dibahagian-bahagian yang lain? Jika NS tumpas maka tidak ralat lagilah rakyat untuk meletakkan kesalahan kepada pucuk pimpinan kerana tidak mempunyai kekuatan untuk mencari ganti yang ‘viable’ bagi NS.

Hanya Melaka sahaja yang dikatakan akan mengekalkan semua kerusi BN yang dimenanginya dalam pilihanraya umum yang lalu. Tidak keterlaluan jika ada mereka yang memberikan pandangan yang Johor akan kehilangan beberpa kerusi Parlimen kepada PR. Jika Johor yang dikatakan sebagai kubu UMNO dapat ditembusi PR maka jika panjang umur kita semua, kita akan melihat kejatuhan pihak kita dimana-mana diseluruh negara.

Tentu ramai yang membenci saya dengan pandangan saya ini, tetapi apakan daya, saya tidak mampu untuk membohongi diri saya sendiri. Dulu blog ini pernah membuat telahan yang PR akan memenangi 75 kerusi Parlimen diSemenanjung ini. Ramailah yang menghentam saya dan menuduh diri saya sebagai pengkhianat kerana mereka tidak mendapat pandangan yang mereka ingin mendengarnya dari saya. Tetapi apabila keputusan disiarkan secara terus menerus, terbukti sebanyak 81 kerusi Parlimen diSemenanjung dan 1 kerusi diSarawak telah tumpas ditangan PR. Kerusi yang jatuh melebihi dari apa yang blog ini ramalkan.

Kali ini saya akan memberikan imbasan mengikut kajian saya yang serba tidak sempurna ini; BN keseluruhannya akan memenangi tidak lebih dari 100 kerusi diseluruh negara. Itu pandangan saya dan saya tidak berhajat untuk membawa sesiapa untuk mempercayainya.

Sekarang barulah ramai yang bertanya kenapa UMNO tidak mampu mencari pemimpin yang dihormati ramai untuk memimpin perhubungan negeri-negeri? Jawapannya ialah; kita tidak melakukan perubahan serta mengenapikan pemimpin yang tidak senonoh semasa budaya itu belum merebak. Sepatutnya dari dulu lagi pucuk pimpian mesti mengenepikan seorang demi seorang jika mereka melakukan kesalahan.

Sepatutnya dahulu lagi pucuk pimpinan patut membuang pemimpin ibarat makan tebu; busuk seruas dibang seruas. Tetapi dibiarkan keseluruhan batang tebu itu busuk, maka nak mencari ruas yang boleh dimakan sudah tidak ada lagi. Nak dibuang pula sebatang tebu tidak ada pula yang akan memimpin. Maka UMNO kini terpaksa menggunakan juga ruas-ruas tebu yang busuk itu. Bak kata anak-anak muda sekarang, ‘nasib lu lah brader’.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...