Sidang gempar DUN Selangor 24 Januari


(Free Malaysia Today) – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk meminda undang-undang tubuh negeri akan diadakan 24 Januari ini, kata Speaker Datuk Teng Chang Kim.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Teng telah mengarahkan setiausaha DUN memaklumkan perkara itu kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor.

Sidang DUN itu akan dijalankan menurut Peraturan 10 (3) Peraturan-peraturan Tetap DUN Selangor setelah berpuas hati dengan alasan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Teng berkata alasan Khalid mahu mengadakan mesyuarat itu kerana ia berkepentingan awam dan perlu diadakan lebih awal.

Urusan mengenai mesyuarat dan kertas-kertas mesyuarat berkenaan akan diedarkan kepada Adun selepas ditetapkan oleh Menteri Besar.

Semalam Khalid berkata kerajaan negeri akan tetap mengadakan sidang tergempar akhir bulan ini bagi meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959.

Kerajaan negeri telah melantik Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Prof Datuk Dr Abdul Aziz Bari dan peguam Datuk Param Cumaraswamy bagi menyediakan draf pindaan Seksyen 52 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor, katanya kepada pemberita di sini selepas melancarkan Majlis Anti Pemerdagangan Manusia Negeri Selangor (MAPMAS).

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...