PAS Selangor komited bersama Pakatan Rakyat


 

PAS Selangor ingin menegaskan bahawa kenyataan akhbar yang dibuat oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Hasan Mohamad Ali semalam di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Gombak Setia berhubung isu perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang baru adalah selaras dengan arahan parti dan Presiden PAS.

PAS Selangor kesal bahawa kenyataan yang dibuat dalam sidang akhbar tersebut telah diputar-belitkan oleh portal berita Malaysiakini sehingga menggambarkan seolah PAS Selangor bersetuju dengan proses perlantikan Mohd Khusrin Munawi dan terpisah dari pendirian Pakatan Rakyat Selangor dan kerajaan negeri.

PAS Selangor ingin mengulangi bahawa ia komited dengan pendirian kerajaan negeri dan bersetuju dengan sidang khas Dewan Negeri Selangor yang dijadualkan pada 24 Januari ini yang bermatlamat mengembalikan kuasa istana dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor.

Sesungguhnya PAS Selangor menolak sebarang bentuk campurtangan dan gangguan dari kerajaan persekutuan berhubung perlantikan khasnya para pegawai kanan negeri tanpa melibatkan kerajaan negeri dalam prosesnya.

Sehubungan itu PAS Selangor sedang menimbang untuk mengambil tindakan tegas terhadap Malaysiakini kerana melaporkan perkara yang tidak benar dan berbentuk fitnah.

Siang tadi rombongan diketuai Pesuruhjaya, Setiausaha Perhubungan dan Ketua Penerangan PAS Selangor telah mengunjungi Abd Hadi Awang, Presiden PAS, dalam mana video rakaman sepenuhnya sidang tersebut telah dipertontokan yang ternyata membuktikan fitnah Malaysiakini itu.

*Kenyataan media oleh Roslan Shahir Mohd Shahir selaku Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor.

 



Comments
Loading...