Pindaan perlembagaan S’gor: Draf hampir siap


Dewan Undangan Negeri akan membentangkan pindaan perlembagaan bulan ini

(Free Malaysia Today) – Draf bagi meminda undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 yang akan dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 24 Januari hampir siap, kata Prof Datuk Dr Abdul Aziz Bari.

Dr Abdul Aziz yang juga pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bersama peguam terkenal Datuk Param Cumaraswamy dilantik oleh kerajaan negeri Selangor menyediakan draf pindaan tersebut.

Kerajaan Selangor baru-baru ini menolak pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru menggantikan Datuk Ramli Mahmud kerana ia dilantik oleh kerajaan pusat.

Menurut Dr Abdul Aziz, pindaan itu untuk mengembalikan kuasa melantik ketiga-tiga pemegang jawatan utama termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri dikembalikan kepada Sultan dan Menteri Besar.

Dakwanya, peruntukan itu dipinda secara “senyap-senyap” oleh kerajaan negeri semasa diperintah oleh Barisan Nasional-Umno.

Bagaimanapun, menurutnya setakat ini tiada aspek lain yang akan dibentangkan dalam sidang dewan melainkan berkaitan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor itu.

“Saya hanya memberi buah fikiran dan nasihat. Setelah perbincangan bersama para Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN),  draf itu kini hampir siap.

“Setakat ini pindaan itu hanya untuk mengembalikan peruntukan lama yang dipinda secara senyap-senyap oleh Umno. Tetapi raja ini ialah raja berperlembagaan.

“Jadi meskipun istilahnya mendaulatkan raja ia bukan menambah kuasa kerana ia sedia ada tapi dipadam oleh Umno,” katanya kepada FMT.

Dr Abdul Aziz berkata, setelah draf itu selesai tiada perbincangan lanjut akan dibuat memandangkan DUN berdaulat dan  mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...