Forum Bersih di Kota Bharu 21 Jan


(Harakah Daily) – Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menganjurkan forum sempena ‘Road Show Bersih’ ke Kelantan pada 21 Januari ini bertempat di Balai Islam, Lundang.

Kelantan merupakan negeri ketiga penganjuran program itu dalam usaha untuk membawa suara rakyat agar SPR berlaku adil dan telus serta tidak mengikut kehendak mana-mana kepentingan parti.

Pengerusi Jawatankuasanya, Dr Abdul Halim Yusof,  berkata tiga panelis forum akan mengambil bahagian, AJK Pusat Bersih, Dr Koh Kin Woon, Profr Dr Abdul Aziz Bari dan anggota exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa.

Katanya lagi, memandangkan pilihan raya medan untuk rakyat memilih wakil mereka bagi mentadbir negara, segala sistem dan proses dalam pilihan raya perlu mengikut peraturan undang-undang serta bersesuaian dengan kehendak mereka.

“Saya menyeru orang ramai hadir pada program forum ini untuk menyatakan hasrat kita pada SPR khususnya.

“Ianya amat penting untuk menyatakan hasrat kita pada SPR agar menjalankan kewajipannya sebaik mungkin tanpa dipengaruhi oleh parti pemerintah dan kerajaan juga diingat jangan mencampuri urusan SPR,” ujarnya lagi.

Kata Halim lagi, pihaknya percaya hanya pilihan raya kecil dan adil sahaja warganegara mampu mengenalpasti hala tuju mereka dan negara.

Pada sidang media itu juga, beliau sekali lagi menyuarakan 11 tuntutan Bersih antara lain penggunaan dakwat kekal bagi menghalang pengundian berganda serta menghapuskan pengundian pos.

Selain itu katanya, tempoh kempen minimum 21 hari, amalan yang adil dalam persempadanan kawasan, pendaftaran automatik untuk semua pengundi yang layak dan lain-lain lagi.

 



Comments
Loading...