Mahasiswa, kakitangan UiTM tak dibenar terbabit kempen


(Berita Harian) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi amaran kepada semua pelajar dan kakitangan akademiknya supaya tidak terbabit dalam sebarang kegiatan parti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bermula hari ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata mereka yang melanggar peraturan itu akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut Akta UiTM 1976 (pindaan 2006) atau akta lain yang bersesuaian. 

Beliau berkata, memang sukar untuk mengawal lebih 180,000 pelajar dan hampir 9,000 pensyarah universiti itu di seluruh negara tetapi UiTM mempunyai mekanisme tersendiri. 

“Saya juga mempunyai akaun facebook yang kini mempunyai lebih 27,500 kenalan, kebanyakannya pelajar UiTM sendiri. Kalau ada pelajar atau pensyarah yang terbabit dalam politik, saya akan tahu dengan pantas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sahol Hamid berkata, majoriti pelajar dan pensyarah UiTM tidak terbabit dengan parti secara langsung kerana mereka kurang berminat dengan politik kepartian.

Beliau berkata, walaupun pelajar dan pensyarah dilarang terbabit dalam kempen parti di Tenang, jika secara kebetulan mereka pemilih berdaftar dalam DUN berkenaan, mereka masih boleh mengundi pada 30 Januari ini.

“Pelajar yang berusia lebih 21 tahun dan sudah berdaftar sebagai pemilih, boleh mengundi kerana itu hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun pelajar atau pensyarah tidak boleh terbabit dalam politik kepartian di luar kampus tanpa kebenaran universiti,” katanya.

 



Comments
Loading...