Tenang: Peratus Undi Pengukur Mutlak


A Kadir Jasin

HARI ini pemilih kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor keluar mengundi bagi memilih wakil baru.

Ia membabitkan pertandingan dua hala antara penyandang Barisan Nasional dan Pas. Calon BN adalah bekas pegawai tadbir Mohd Azahar Ibrahim dari parti Umno manakala Pas diwakili oleh bekas guru Normala Sudirman. Pas turut mewakili DAP dan PKR.

Tenang adalah kawasan campuran kaum di mana tidak ada satu bangsa pun mempunyai majoriti mutlak. Daripada 14,753 pemilih berdaftar, 47.54 peratus Melayu, 39.08 peratus Cina dan 12.07 peratus India. Bilangan pemilih bertambah 42 sejak PRU lalu.

Ramalan dan unjuran memihak kepada BN. Ada yang begitu yakin bahawa bukan sahaja BN akan mengekalkan kerusi itu malah menambah majoriti kepada 5,000 undi. Manakala yang lain pula mengatakan majoriti BN akan bertambah 700 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 2008, daripada undi sah sebanyak 10,242 calon BN Allahyarham Sulaiman Taha memperoleh 6,367 undi (62.16 peratus) dan Mohd Saim Siran memperoleh 3,875 undi (37.83 peratus).

Ini memberikan Sulaiman 2,492 kelebihan undi atau 24.33 peratus undi popular. Kalau hari ini jurang itu meluas, maka tandanya BN lebih popular daripada pada PRU 2008, tetapi jika di sebaliknya, ia bererti sokongan mutlak terhadap BN merosot.

Dalam PRU 2008, wujud unsur protes apabila 413 undi didapati rosak dan 14 kertas undi tidak dipulangkan manakala bilangan yang keluar mengundi 73.52 peratus.

BN tentu mahu mempertahankan kerusi itu dan menambah peratusan undi yang diperolehnya bagi menunjukkan ia lebih kuat sekarang berbanding PRU 2008.

Pas/PR pula tentulah bercita-cita melakukan kejutan dengan mengalahkan BN di negeri tunggal di mana Umno/BN masih berupa “king of the castle”.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...