Pelantikan SUK Negeri Selangor


Khalid Samad

Ada yang beranggapan bahawa sekiranya Kerajaan Negeri akhirnya menerima perlantikan Khusrin sebagai SUK maka bantahan selama ini oleh PR tidak bermakna dan hanya membuang masa. Sebenarnya tanggapan sebegitu adalah tidak tepat sama sekali.

Bantahan dilakukan bertujuan untuk menjelaskan kepada rakyat Selangor bahawa Khusrin bukan pilihan kerajaan Negeri tetapi sebaliknya adalah pilihan kerajaan Pusat. Beliau tidak dilihat sebagai calon terbaik oleh kerajaan Negeri tetapi oleh kerana kuasa Negeri, sepertimana kuasa Sultan, telah dirampas oleh Kerajaan Pusat, maka akhirnya perlantikan beliau tetap sah di sisi undang-undang. Oleh itu, sekiranya mutu kepimpinan beliau tidak sepertimana yang sepatutnya dan lanjutan dari itu mutu perkhidmatan awam merudum selepas beliau dilantik, maka rakyat mesti faham, ianya adalah kerana peranan yang dimainkan oleh peribadi yang diletakkan oleh kerajaan Pusat untuk memimpin kakitangan kerajaan di negeri Selangor. Ianya bukan atas kelemahan kerajaan Negeri itu sendiri.

Jawatan SUK adalah begitu penting kerana beliau merupakan ketua kepada semua kakitangan kerajaan di Negeri Selangor. Pegawai Daerah, Ketua-ketua jabatan semua melapor kepadanya. Oleh itu seorang yang dipilih untuk mengisi jawatan tersebut mesti mempunyai kemampuan dan kewibawaan untuk memimpin seluruh kakitangan kerajaan supaya segala program kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan jayanya. Oleh kerana beliau tidak merupakan calon terbaik, mengikut penilaian kerajaan Negeri, maka perlantikan beliau dibantah.

Ianya dibantah supaya rakyat dapat melihat betapa kerajaan Negeri pilihan mereka ingin dipinggirkan oleh kerajaan Pusat. Ianya dibantah supaya rakyat memahami bahawa kerajaan Pusat ingin mengekang kejayaan dan kemampuan kerajaan negeri dengan meletak seorang yang kurang berupaya dalam jawatan yang sepenting itu. Ianya dibantah supaya rakyat memahami bagaimana kerajaan Pusat terus berusaha untuk menggagalkan cita-cita rakyat untuk melihat terbentuknya sebuah kerajaan yang cemerlang dicapai oleh PR.

Sehubungan dengan itu, maka akan menjadi jelas juga kepada semua bahawa sekiranya Negeri Selangor ingin membebaskan diri dari belenggu ketidak cekapan dan urus tadbir yang lembab, maka tidak memadai untuk rakyat memenangkan PR hanya di Negeri. Kemenangan mesti juga dicapai di peringkat Pusat.

Ada yang menganggap bahawa saya mempunyai agenda peribadi terhadap Khusrin. Sebenarnya tidak. Biar saya nyatakan di sini secara terus terang, sekiranya Khusrin merupakan pilihan pertama kerajaan Negeri, maka saya akan sokong perlantikan beliau. Pada ketika itu, sekiranya kerajaan Pusat ingin beliau diketepikan, maka saya pula yang akan menjadi orang yang pertama membelanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...