Kerusi campur: Azmin silap, kata PAS


Sepatutnya timbalan presiden PKR itu membicarakannnya dalam ruang yang betul dan tidak mengungkit perkara itu secara terbuka.

(Free Malaysia Today) – Dakwaan bahawa PAS turut berminat dengan kerusi PKR menimbulkan rasa kurang senang kepada Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

Beliau menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden PKR  Azmin Ali bahawa PAS berminat dengan kerusi kawasan bercampur sebagai tidak tepat dan dibuat di tempat yang salah.

“Sepatutnya Azmin membicarakannnya dalam premis yang betul. Kita (Pakatan Rakyat) tidak membincangkan perkara ini.

“Bagaimanapun, saya percaya perkara ini boleh diselesaikan dalam Pakatan Rakyat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Salahuddin yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin bahawa “tiada lagi formula PAS akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, DAP di kawasan Majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. “

“Sekarang, PAS juga mahu kawasan bercampur,” kata Azmin seperti dilapurkan.

Keadaan ini boleh menyukarkan rundingan komponen Pakatan Rakyat yang membabitkan PKR, PAS dan DAP menentukan pembahagian kerusi dalam pilihanraya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata jika PAS berminat bertanding di kawasan bercampur ia merupakan fenomena semasa berikutan sokongan pengundi  bukan Melayu, terutama pengundi Cina, kepada parti itu.

Tambahnya, fenomena ini sepatutnya tidak menjadi pertikaian dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, kata bekas Ketua Pemuda PAS itu,  parti Islam itu  mempunyai penyokong setia di kalangan pengundi Melayu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...