Beza Harakah PAS dan Utusan UMNO: satu pandangan peribadi


Dua orang yang amat berkeras membantah ialah Aminulraasyid Yatiban dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Sejak awal lagi mereka berbincang bagaimana untuk menyegerakan rombakan Majlis Syura supaya saya tidak lagi menjadi Mursyid.

Oleh Wan Saiful Wan Jan

Kolum pertama saya dalam Harakah diterbitkan pada 26 November 2010, selepas saya berbincang dengan Ahmad Lutfi Othman, Ketua Pengarang akhbar itu pada 11 November 2010.

Nampaknya penglibatan saya dengan Harakah merupakan antara perkhidmatan yang paling pendek yang pernah saya lakukan.

Pada jam 7pm 18 Februari 2011, saya menerima SMS daripada Lutfi berbunyi “kolum saudara di harakah – ada masalah timbul, elok jumpa utk jelaskan hal ini.”

Saya membalas mengatakan perbualan telefon pun sudah mencukupi. Dan, pada jam 10.15pm malam yang sama, saya secara rasminya dibuang daripada menjadi kolumnis akhbar tersebut.

Sebenarnya saya tidak menerima satu sen pun daripada akhbar tersebut. Jadi mungkin lebih tepat jika dikatakan saya dibuang daripada kerja sukarela untuk akhbar PAS itu.

Lutfi menerima arahan daripada Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat untuk menamatkan kolum saya. Saya dimaklumkan ada beberapa orang tidak bersetuju saya diberikan kolum tetap.

Semasa perbualan saya dengan Lutfi, kelihatan seolah-olah artikel saya yang disiarkan pada 7 Februari merupakan salah satu masalah utama.

Artikel itu menceritakan mengenai satu seminar anjuran IDEAS di UKM pada 25 Januari 2011, yang dirasmikan oleh Dato’ Saifuddin Abdullah. Artikel itu juga menyentuh satu lagi majlis anjuran IDEAS pada 8 Februari untuk menyambut ulang tahun kelahiran Almarhum Tunku Abdul Rahman dan juga ulang tahun pertama penubuhan IDEAS. Ada beberapa orang yang tidak senang hati apabila ada penulisan dalam Harakah yang memberi promosi kepada “program UMNO”.

Saya tidak pasti pula program mana yang mereka maksudkan sebagai “program UMNO”. Semua yang saya tulis adalah mengenai program IDEAS.

Tetapi, yang paling ironis ialah komentar oleh panelis majlis IDEAS pada 8 Februari telah dijadikan bahan muka depan Harakah minggu itu. Nampaknya apabila kita mempromosi program itu, maka ianya salah. Tetapi bila program itu ada “mata” yang boleh mereka gunakan untuk politik murahan, terhegeh-hegeh pula letak di muka depan!

Saya perlu jelaskan di sini bahawa perbualan 15 minit saya dengan Lutfi sebenarnya tidak dapat mengenalpasti secara tepat artikel mana yang menjadi puncanya atau jika ada mana-mana satu kesilapan dalam penulisan saya yang menjadi sebab utama. Ini kerana sebelum artikel bertarikh 7 Februari itu disiarkan, telah dua kali Idris Ahmad memberi wahyu kepada Harakah mengenai kolum saya.

Oleh kerana itu, kedua-dua kami, iaitu saya dan Lutfi, beranggapan bahawa wahyu daripada Idris Ahmad itu sebenarnya bukanlah kerana mana-mana perenggan tertentu, tetapi lebih disebabkan isu personaliti dan sejarah.

Sejarah itu bermula dengan penyertaan saya dalam Parti Konservatif Britain pada tahun 2005, semasa masih memegang jawatan Mursyid Al-Hizbul Islami UK & Eire (HIZBI). Sebagai Mursyid, saya mempengerusikan Majlis Syura Pusat HIZBI.

Beberapa orang ahli Majlis Syura pada waktu itu membantah penyertaan saya dalam Parti Konservatif kerana bagi mereka ini menimbulkan persoalan mengenai ke mana wala’ saya. Bagi mereka yang biasa dengan sistem dalam PAS, isu wala’ merupakan senjata utama parti untuk memastikan semua ahlinya mengikut sepenuhnya arahan orang atasan. Jika berlaku sesuatu bantahan, maka yang bersalah ialah mereka yang tidak wala’, dan si pemimpin pula biasanya selamat.

Dua orang yang amat berkeras membantah ialah Aminulraasyid Yatiban dan Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob. Sejak awal lagi mereka berbincang bagaimana untuk menyegerakan rombakan Majlis Syura supaya saya tidak lagi menjadi Mursyid.

Hasrat itu tercapai dalam mesyuarat Majlis Syura Pusat pada 8 April 2006 di Bewley Hotel, Manchester. Mesyuarat itu berakhir dengan Aminulraasyid berjaya mengambil alih jawatan Mursyid dengan sokongan kuat daripada Raja Ahmad Iskandar.

Mesyuarat itu juga dimaklumkan bahawa rupanya kedua-dua mereka telah terlebih dahulu menghubungi beberapa orang pemimpin PAS di Malaysia untuk mendapatkan sokongan. Aminulraasyid telah menghubungi Haron Taib dan Raja Ahmad Iskandar telah menghubungi Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat Salahudin Ayub. Pada waktu itu Idris Ahmad ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat.

Sehingga hari ini saya berpegang dengan pendapat bahawa mereka yang berada di luar negara bebas menyertai mana-mana pertubuhan yang mereka mahu. PAS tidak relevan dalam membuat keputusan mengenai hal sebegitu.

Tetapi jelas sekali golongan yang berpegang dengan fikrah kolektivisme amat kuat dalam PAS sehingga sebarang tindakan yang berbentuk individu boleh dihalang terus atas alasan “tidak wala’ ”. Mereka memang tidak berpuas hati apabila saya membantah keputusan mereka.

Inilah punca asal masalah yang menyumbang kepada penamatan kolum saya dalam Harakah. Nampaknya dendam itu berterusan sehingga sekarang!

Saya memang telah memaklumkan kepada Lutfi mengenai kemungkinan dendam itu akan timbul kembali jika saya diberikan kolum tetap. Tetapi Lutfi sebagai seorang gentleman berkata bahawa kita patut cuba dahulu.

Sehingga saat ini saya terus menghormati Lutfi sebagai seorang editor yang berprinsip. Masalahnya ialah dia bekerja di bawah indvidu-individu yang mempunyai kepentingan politik, sehingga kebebasan beliau terkongkong. Saya juga tidak mahu menyusahkan beliau kerana kesihatan beliau yang sedang terganggu, maka sebab itulah apabila beliau memaklumkan wahyu Idris Ahmad itu, saya tidak membantah langsung.

Pada peringkat awalnya, beliau ada menasihatkan agar saya tidak menulis perkara yang sensitif bagi PAS. Tetapi saya bertegas bahawa mereka tersalah jika menyangka bahawa saya akan menulis mengenai kebaikan Pas dan keburukan UMNO setiap masa. PAS bukan malaikat dan UMNO bukan iblis. Kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Maka setiap kebaikan perlu dipuji dan keburukan perlu diperbaiki.

Pemberhentian ini menunjukkan masih ada yang tidak senang apabila ada orang yang mengatakan bahawa PAS tidak maksum.

Serba sedikit saya gusar juga apa yang akan berlaku terhadap kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara di Malaysia jika individu-individu seperti beberapa kerat pemimpin PAS ini mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Adakah mereka akan memberi kebebasan hanya bagi kaki ampu sahaja tetapi membunuh sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka?

Saya sebelum ini pernah mempunyai kolum dalam Utusan Malaysia yang bernama “Wau Bebas”. Tetapi saya berhenti menulis untuk Utusan kerana saya tidak gembira dengan nada editorial yang mereka gunakan. Bezanya, di Utusan, mereka hanya mengedit perenggan-perenggan yang mereka tidak suka. Jika ada artikel saya yang terlalu sensitif, maka mereka tidak menerbitkannya. Tetapi mereka tidak pula menamatkan kolum saya. Saya yang berhenti sendiri.

Sebaliknya, dalam akhbar Harakah milik parti “Islam” pula, apabila mereka tidak bersetuju, maka mereka terus bunuh! Nampaknya perbezaan antara PAS dan UMNO kini menjadi semakin ketara.

 



Comments
Loading...