HINDRAF niat jahat


Tuduh BN rejim zalim, autokratik; Burukkan imej Malaysia menerusi media antarabangsa

(Berita Harian) – TEMERLOH: Datuk Seri Najib Razak yakin pertubuhan haram, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) mempunyai niat jahat untuk memburukkan imej Malaysia menerusi media antarabangsa bagi menunjukkan kononnya kerajaan Barisan Nasional (BN) sebuah rejim yang autokratik dan zalim.

Perdana Menteri berkata, kumpulan itu amat berharap polis akan menggunakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan dalam demonstrasi dianjurkan mereka di sekitar ibu negara semalam, supaya mereka boleh mengeksploitasi kejadian itu menerusi media antarabangsa.

“Mereka nak tunjukkan kita rejim yang autokratik dan zalim… itu niat sebenarnya, malah sasaran mereka adalah untuk menimbulkan gambaran buruk melalui media antarabangsa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Warga FELDA di Jengka 25 di sini, semalam.

Perdana Menteri mengulas penahanan pengasas HINDRAF, P Uthayakumar, pagi semalam bersama 108 yang lain kerana cuba menyertai perhimpunan Solidariti Membantah Perkauman UMNO dan membantah penggunaan novel Interlok di sekolah di beberapa lokasi di ibu negara.

Uthayakumar ditahan ketika keluar dari rumahnya di Pantai Hill Park, jam 7 pagi.

Najib berkata, mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghantar memorandum kepadanya atau pemimpin lain di Putrajaya tanpa perlu mengadakan demonstrasi.

“Mengenai masalah kaum India, kita sedang mengatasinya, malah banyak masalah kaum India sudah diselesaikan dan ini dibuktikan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, apabila sokongan mereka pada calon BN meningkat dengan ketara,” katanya. Ditanya sama ada beliau bersedia berjumpa pemimpin HINDRAF, Najib berkata, beliau tidak ada halangan untuk berbuat demikian dengan syarat mereka mematuhi undang-undang.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah pada sidang medianya di Kuala Lumpur, mengesahkan 109 ahli dan pemimpin HINDRAF dan Parti Hak Asasi Manusia (HRP), termasuk lapan wanita dan dua wartawan ditahan di beberapa lokasi ibu kota kerana ingkar arahan polis menyertai perhimpunan haram dan mengganggu polis menjalankan tugas.

Turut ditahan beberapa pemimpin kanan HRP, iaitu Ketua HRP Kedah, Ramu Ramasamy; Ketua HRP Pulau Pinang, Kalai Selvam dan Ketua Penerangan HRP, S Jayanthas.

Dalam perhimpunan sama, polis turut merampas sepanduk dan kemeja-T mengandungi ayat berbentuk provokasi yang boleh memecahbelahkan perpaduan kaum di negara ini.

Semua penyokong HRP ditahan mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis, manakala lapan pemimpinnya disiasat mengikut Seksyen 85 (1) Akta Pertubuhan 1966. Sementara itu, semua pengikut Hindraf termasuk Uthayakumar sudah dibebaskan kira-kira jam 9.45 malam tadi selepas polis selesai mengambil keterangan mereka.

Bagaimanapun, 14 lelaki yang juga penyokong pertubuhan haram itu ditahan jam 8 malam kerana mengingkari arahan polis supaya bersurai selepas mereka berhimpun di depan Balai Polis Jinjang iaitu tempat Uthayakumar ditahan dan sehingga jam 12.30 malam tadi, semua masih belum dibebaskan.

 



Comments
Loading...