Pengundi Melayu terpengaruh propaganda ‘PAS alat DAP’


Sebahagian pengundi Melayu terpengaruh dengan propaganda tersebut, kata Ketua Pemuda PAS.

(Free Malaysia Today) – Propaganda PAS alat kepada DAP telah berjaya mempengaruhi  pengundi Melayu di Kerdau dan Merlimau, kata Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan.

“Sebahagian pengundi Melayu terpengaruh dengan propaganda tersebut. (Dan) PAS telah  gagal menjelaskan isu ini kepada pengundi Melayu.

“Jika gagal dijawab lebih ramai pengundi Melayu akan terpengaruh dengan propaganda tersebut.

“PAS kena jawab sekarang. PAS tidak boleh buat saat akhir. Kita akan gagal jika bertindak di saat akhir.

“Selalunya kita bertindak di saat-saat akhir dan ini yang menyebabkan PAS gagal jawab propaganda Umno,” katanya  ketika dihubungi hari ini.

Nasruddin berkata, PAS termasuk Pemuda perlu bergerak sekarang dan memastikan setiap isu rumah mendapat penjelasan terhadap propaganda itu.

“Tidak boleh tunggu lagi, kena buat sekarang, Kita kena beritahu mereka bahawa PAS bukan alat DAP,” tegasnya.
PAS alat DAP menjadi salah satu bahan kempen BN dalam pilihan raya kecil Merlimau dan Kerdau yang mana kedua-dua calon Umno menang besar.

Roslan Ahmad menang dengan majoriti 3,643 undi mengalahkan calon PAS, Yuhaizad Abdullah di Merlimau.

Di Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad dengan majoriti 2,724 undi ke atas  Ketua Penerangan PAS Pahang, Hasanuddin Salim.

Nasruddin juga mengaku pengundi muda tidak menyokong calon PAS sama ada di Kerdau mahu pun Merlimau.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan faktor pengundi muda tidak menyokong PAS tetapi mengesahkan pendaftaran pengundi muda oleh Pemuda tidak banyak..

“Daftar pengundi muda yang dibuat oleh Pemuda PAS tidak cukup banyak, saya mahu perlu mendaftar lebih ramai pengundi muda lagi.

“Pilihanraya ini (Kerdau dan Merlimau) memberi pengajaran kepada PAS  sebelum menghadapi pilihanraya umum akan datang,” katanya.

 



Comments
Loading...