KITA tanding semua kerusi di Selangor
Bagi kerusi negeri, KITA akan meletakkan 28 calon Melayu; Cina (18) dan India 10 orang.
(Free Malaysia Today) – Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dalam pilihanraya umum akan datang.
KITA juga akan bertanding disemua 22 kerusi Parlimen Selangor, kata Penyelarasnya, S Kottapan hari ini.
Beliau berkata, di peringkat DUN parti itu akan meletakkan 28 calon Melayu; Cina (18) dan India 10 orang.
Katanya, jika calon orang Cina tidak mencukupi kerusi tersebut akan ditandingi oleh calon orang Melayu.
Beliau menambah, sebahagian calon sudah ada tetapi parti sedang berusaha mendapatkan yang lain.
“Saya sedang mencari calon yang berwibawa, yang mempunyai peluang menang untuk bertanding atas tiket KITA di Selangor.
“Mereka yang berminat termasuk bekas pemimpin PKR boleh berhubung dengan saya.
“Saya diberi tanggungjawab oleh Presiden Kita, Datuk Zaid Ibrahim untuk memilih mereka yang layak untuk menjadi calon kerusi DUN.
“Bagi kerusi Parlimen calon akan dipilih sendiri oleh Zaid,” katanya ketika dihubungi.
KITA sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Islam Malaysia (Akim) hanya sebuah parti kecil yang pernah bertanding dalam pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh pada 2007 dan Parlimen Kuala Terengganu pada 2009.
Bagaimanapun, Zaid yang gagal dalam saingan kerusi timbalan presiden PKR keluar parti itu dan mengambilalih kepimpinan Akim pada akhir tahun lalu.