Buku Jingga janji saudagar mimpi: ‘Perancangan tidak munasabah’


Pakar ekonomi dakwa banyak janji pembangkang sudah dilaksana kerajaan

(Berita Harian) – hli ekonomi menyifatkan janji parti pembangkang dalam Buku Jingga yang didakwa digubal oleh pakar ekonomi sebagai ‘sesuatu yang tidak baru’ kerana sesetengah daripadanya sudah dilaksanakan kerajaan untuk menjana pertumbuhan ekonomi.

Malah, prinsip penjanaan ekonomi bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat itu memang diamalkan dalam semua pelan pembangunan lima tahun negara, termasuk yang terbaru di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Ketua Pengarah, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin berkata, penghasilan buku itu juga boleh dilihat sebagai perancangan tidak munasabah kerana ia membabitkan perbelanjaan besar, sekali gus menggugat kedudukan ekonomi dan daya saing negara di peringkat antarabangsa.

“Ahli-ahli ekonomi memang merancang untuk menjana pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. Namun perancangan perlu mengambil kira kemampuan kewangan negara.

“Setiap cadangan perlu ditimbang juga dari segi kesannya dan sama ada boleh dilaksanakan secara berkesan dan berhemah.

“Oleh itu, ia (perancangan itu) munasabah jika negara mampu dan tidak menanggung beban hutang yang besar atau tidak memberi kesan negatif seperti menyebabkan kurang daya saing.

“Sementara, cadangan tidak boleh dianggap munasabah jika ia mengetepikan keperluan kewangan atau hanya memanfaatkan setengah kumpulan tertentu saja,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung janji parti pembangkang dalam Buku Jingga iaitu rancangan 100 hari jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Buku Jingga yang dikeluarkan parti pembangkang itu menjanjikan beberapa perkara utama yang membabitkan kewangan negara yang besar.

Antara lain ia termasuk pengambilalihan konsesi lebuh raya negara; penyediaan perkhidmatan internet Wi-Fi percuma kepada rakyat di kawasan bandar dan separa bandar; meningkatkan pendapatan isi rumah kepada tahap minimum RM4,000 sebulan; serta penghapusan subsidi RM19 bilion kepada Penjana Tenaga Bebas.

Mengulas lanjut, Mahani berkata, pelaksanaan cadangan itu boleh negara membebankan kedudukan kewangan kerajaan kerana ia memerlukan dana yang besar.

“Contohnya, jika pendapatan isi rumah dinaikkan kepada tahap minimum RM4,000 sebulan, bukan saja wang yang banyak perlu disediakan tetapi menyebabkan berlaku inflasi jika dilaksanakan tanpa penambahan produktiviti,” jelasnya.

Malah beliau berkata, syarikat swasta juga mungkin akan menghadapi kesukaran untuk menaikkan gaji secara wajib seperti yang dikehendaki dalam Buku Jingga itu.

 



Comments
Loading...