Rahim, Shazryl serah video seks kepada polis


(Berita Harian) – Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Tamby Chik dan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, semalam tampil ke Bukit Aman menyerahkan rakaman video seks lelaki yang dikatakan mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wanita muda warga asing.

Turut diserahkan jam tangan yang dikatakan milik Ketua Pembangkang yang didakwa ditemui dalam bilik perlakuan itu dirakamkan.

Mereka tiba di Bukit Aman kira-kira jam 5 petang secara berasingan sebelum Abdul Rahim dilihat keluar jam 10 malam selepas polis selesai mengambil keterangan hampir lima jam bagi membantu siasatan.

Difahamkan, seorang lagi kumpulan Datuk T yang membawa maksud Trio, iaitu Bendahari PERKASA, Datuk Shuib Lazim dikatakan akan memberi keterangan pagi esok (hari ini) di Bukit Aman.

Rahim ketika ditemui berkata, beliau sudah memberi keterangan penuh selama lima jam kepada polis serta menyerahkan semua bahan bukti dan berharap ia mampu membantu mempercepatkan siasatan polis.

“Apa yang penting, seluruh masyarakat akan tahu perkara sebenar siapakah aktor dalam video seks berkenaan. Segala bahan bukti termasuk rakaman video dan jam tangan milik Anwar sudah diserahkan dan tidak perlulah saya menceritakan dengan terperinci kerana boleh mengganggu siasatan polis,” katanya.

Rahim juga berharap bahan bukti yang diserahkan itu disiasat secara forensik bagi memastikan video berkenaan betul atau sebaliknya.

“Walaupun ada pihak menafikan bahan bukti yang diserahkan bukan miliknya, namun saya yakin dengan kepakaran yang ada, ia mampu membuktikan kebenaran. Jangan terlalu banyak menafikan sesuatu perkara, sebaliknya perlu akur dengan kedaulatan,” katanya yang enggan mengulas lokasi sebenar video itu dirakam.

Beliau turut dimaklumkan oleh pihak polis bahawa kenyataan yang diberikan itu sudah mencukupi, namun bersedia jika dipanggil lagi selepas ini.

Isnin lalu, satu kumpulan diketuai Datuk T menayangkan rakaman video seks didakwa membabitkan Anwar kepada media di Carcosa Sri Negara, di sini. Beberapa jam selepas ditayangkan, Anwar pada satu sidang media di ibu pejabat PKR menafikan lelaki yang dirakamkan dalam adegan seks itu adalah beliau.

 



Comments
Loading...