Setiausaha Pengelola PKR disiasat


Aduan dana MBI disalah guna

(Berita Harian) – SHAH ALAM: Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat (PKR) Radin Shamsul Kamar, disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), semalam dipercayai berhubung kes penyalahgunaan dana Perbadanan Menteri Besar (MBI) RM80,500.

Radin dilihat memasuki pejabat SPRM di Tingkat 8, Wisma Pertubuhan Kemajuan Pertanian Selangor di sini jam 11.30 pagi ditemani dua peguam parti, N Surendran dan Lateefa Koya.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Jaafar Mahad ketika ditemui media di pekarangan pejabatnya bagaimanapun enggan mengulas kes yang sedang disiasat dan hanya memberitahu Radin dipanggil bagi mengesahkan maklumat yang ada pada SPRM.

“Proses soal siasat ini prosedur biasa apabila SPRM menerima laporan berhubung dakwaan kes berkaitan rasuah.

“Tujuan kita panggil hari ini (semalam) untuk menyoal siasat dakwaan dan laporan yang kami terima dan saya tidak boleh beritahu mengenai apa,” katanya.

Ditanya berapa lama tempoh soal siasat berkenaan akan dijalankan, Jaafar berkata, bergantung kepada keadaan selain kerjasama yang diberikan.

Pada 24 Februari lalu, satu laporan diserahkan kepada SPRM bagi membolehkan suruhanjaya itu menyiasat dakwaan satu lagi penyelewengan kerajaan negeri membabitkan salah guna wang rakyat RM80,500 kerana membiayai Kongres PKR tahun lalu.

Laporan dikemukakan Pemuda UMNO Selangor dan Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) bersama dokumen daripada Menteri Besar Incorporated (MBI) dan dokumen Hotel Armada Petaling Jaya.

Kedua-dua dokumen terbabit dikatakan ada kaitan dengan pembayaran yang dibuat kerajaan negeri menerusi akaun Maybank Berhad bagi penginapan 100 perwakilan PKR pada 24 November tahun lalu.

Aduan itu dibuat bagi mendesak SPRM menjalankan siasatan terperinci mengenainya kerana percaya kerajaan negeri menyalahgunakan wang rakyat.

 



Comments
Loading...