Video seks tulen


KPN sahkan rakaman kait Ketua Pembangkang tidak diubah suai

(Berita Harian) — Isu mengenai kesahihan rakaman video seks yang didakwa membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wanita muda warga asing yang didedahkan baru-baru ini, terjawab semalam apabila polis mengesahkan ia adalah tulen dan bukan rakaman yang telah diubah suai.

Ketulenan rakaman itu disahkan pakar tempatan yang dilantik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu memastikan kesahihan video seks berkenaan kerana timbul pelbagai tanggapan orang ramai mengenainya, terutama Anwar yang mendakwa ia adalah konspirasi politik bagi menjatuhkannya.

Ketua Polis Negara, Tan Si Ismail Omar, berkata berikutan keputusan itu, siasatan kes video seks oleh pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan PDRM kini dalam peringkat akhir sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Sebaik menerima bahan bukti iaitu pita rakaman video seks itu, polis serah kepada pakar untuk mengesahkan ketulenannya sebelum hasil laporan diterima. Laporan pakar mendapati, rakaman video seks berkenaan adalah tulen dan berikutan itu, siasatan kini sudah berada di peringkat akhir,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL KL), di sini semalam.

Ketika ditanya sama ada ‘pelakon’ dalam video berkenaan adalah Ketua Pembangkang, Ismail enggan mengulas, sebaliknya menjelaskan tugasnya adalah memastikan kesahihan video berkenaan.

“Siapa individu dalam video berkenaan tidak penting… apa yang penting polis mengesahkan video itu tulen. Polis juga mendapat banyak pertanyaan daripada masyarakat sama ada video terbabit tulen atau sebaliknya,” katanya.
Beliau juga berkata, polis sudah mengambil keterangan beberapa individu yang dikenal pasti mempunyai maklumat berhubung rakaman video berkenaan bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Sesiapa yang polis rasa penting dan tahu berhubung rakaman video itu sudah dipanggil dan berapa ramai jumlahnya tidak perlu didedahkan. Polis percaya, pasukan penyiasat khas yang ditubuhkan sudah menjalankan siasatan menyeluruh dan profesional,” katanya.

Ismail turut mengesahkan, tiga individu ditahan sebaik rakaman video berkenaan didedahkan dan dibebaskan dengan jaminan polis, tetapi enggan mendedahkan identiti mereka. Beliau juga tidak menolak kemungkinan polis menghantar rakaman video berkenaan untuk dianalisa oleh pakar luar negara.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam reaksinya semalam mempertikaikan kenyataan Ismail dan menganggap ia sebagai cubaan mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar selain bermotifkan politik.

Naib Presidennya, N Surendran, dalam satu kenyataan mendakwa tindakan itu adalah cubaan mengelirukan orang ramai yang bertujuan untuk merosakkan dan menjejaskan reputasi penasihat PKR itu.

Beliau berkata, kenyataan Ismail langsung tidak membuktikan Anwar individu yang dilihat dalam video itu dan Anwar dengan tegas pernah menegaskan beliau bukan individu yang terbabit dalam video berkenaan.

Dua minggu lalu, Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik bersama ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Datuk Shuib Lazim mengaku mereka adalah trio yang menggelarkan diri sebagai Datuk T dan bertanggungjawab mendedahkan rakaman video dan menayangkannya kepada media, di Carcosa Seri Negara sebelum diserahkan kepada Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

 



Comments
Loading...