Penduduk Pulau Pinang mahu BN kembali tadbir


(Berita Harian) – Selepas tiga tahun berada di bawah pentadbiran kerajaan DAP, rakyat Pulau Pinang kini mula menunjukkan sentimen untuk kembali memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bagi merampas kembali negeri ini.

Perkembangan baru itu dinyatakan Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 15,000 rakyat Pulau Mutiara pada majlis Rakyat Bersama Pemimpin di Kampung Permatang Pasir di sini, semalam.

“Saya tak tahu nak kata, tetapi ada angin mahukan perubahan… saya dapat rasa. Saya percaya kita (BN) boleh bangkit semula,” katanya Perdana Menteri.

Mengulas lanjut pada sidang media selepas itu, Najib berkata, oleh kerana perkara itu berdasarkan pandangan mata kasar, rakyat perlu menterjemahkan sentimen itu kepada sokongan dalam bentuk undi pada pilihan raya akan datang.

“Saya ingin melihat sentimen ini diterjemahkan dalam bentuk sokongan dan kesudahan dalam bentuk undi apabila sampai pilihan raya dan itulah yang mesti diusahakan jentera BN,” katanya.

Mengenai kajian kerusi Dewan Undangan Negeri yang boleh dirampas semula di Pulau Pinang pada pilihan raya akan datang, Perdana Menteri berkata: “Kita sudah buat macam-macam, dia (pakatan pembangkang) juga buat kajian, masing-masing buat kajian.”

Terdahulu, dalam ucapannya, Najib berkata, walaupun BN kalah empat negeri pada pilihan raya umum lalu, beliau meminta pemimpin dan ahli BN negeri itu terus merapatkan barisan dan bermuafakat untuk merampas kembali tampuk pemerintahan daripada pembangkang.

“Apabila kita tiada kuasa, kita jangan patah semangat… begitu kecewa melalui mimpi ngeri pada 2008. Kita mesti bangun daripada mimpi ngeri dengan semangat baru, iltizam baru bahawa jika kita sudah berjaya dalam 11 pilihan raya umum lalu, cuma satu kecundang, mengapa tidak boleh kembali untuk menyambung semula menjadi pemerintah,” katanya.

Perdana Menteri turut meminta pemimpin dan ahli UMNO supaya tidak menimbulkan masalah dalam parti sehingga boleh menjejaskan perjuangan parti.

 



Comments
Loading...