Umno Shah Alam dalang komik lucah ‘Raja Lawak’


Oleh Jamilah Kamarudin, Free Malaysia Today

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad mendakwa pengedaran komik ‘Kisah Juara Raja Lawak’ yang memaparkan karikatur lucah mengaibkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim didalangi Umno Bahagian Shah Alam.

Komik setebal 16 muka surat itu mengandungi karikatur dan gambar teknik ‘super impose’ lucah berwarna selain jalan cerita menggambarkan Anwar yang diselubungi skandal seks termasuk mengaitkan dengan bekas pembantu peribadi Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Khalid berkata, beliau menerima aduan daripada pihak pengurusan sebuah kilang percetakan di Seksyen 23 di sini apabila timbunan komik tersebut dijumpai minggu lalu dikilang tersebut yang diletakkan oleh individu tidak dikenali.

Khalid mendakwa, beliau didatangi pihak pengurusan tersebut membuat aduan menyatakan kebimbangan kerana komik itu sudah mula diedarkan kepada pekerja kilangnya oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

“Penyebaran komik lucah ini merupakan satu corak politik yang kotor dan lebih menjijikkan lagi, saya dapat maklumat ia didalangi Pemuda Umno Bahagian Shah Alam,” katanya kepada pemberita dipejabatnya di sini hari ini.

Sehubungan itu, Khalid menggesa Ketua Bahagian Umno Shah Alam Datuk Ahmad Nawawi Md Zin tampil mengutuk sekaligus menafikan dakwaan yang dilemparkannya.

“Kalau Umno punya maruah dan prinsip, mereka kena buat kutukan dan tolak dakwaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan membuat laporan polis tentang perkara ini di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Seksyen 11 esok.

“Saya akan buat laporan polis dan serahkan komik itu yang dianggap sebagai bahan lucah,” katanya.

Pada 29 Mac lalu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar membuat laporan polis terhadap komik yang sama di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur.

Dalam laporannya, Nurul Izzah mendakwa pengedaran komik itu berniat jahat bagi menjatuhkan reputasi dan kredibiliti Anwar serta beliau sendiri sebagai anak sulungnya.

 

SELANJUTNYA DI SINI.



Comments
Loading...