‘Tunjuk bukti jam Omega’


Wan Azizah didesak tidak berlakon, alih perhatian isu video 

(Berita Harian) – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail didesak untuk tidak cuba berdolak dalih atau mengalihkan tumpuan, sebaliknya tampil menunjukkan jam Omega milik suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai bukti jam itu berada dalam simpanannya.

Ini kerana tindakan Wan Azizah cuba berdalih mengenai jam itu pada sidang media kelmarin tidak mampu menjawab dan melenyapkan spekulasi yang mengaitkan lelaki dalam video perlakuan seks dengan seorang wanita yang disiarkan dalam banyak laman web adalah suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Gabungan Badan NGO Malaysia, Md Radzi Daud, berkata Wan Azizah wajar membuktikan jam itu berada dalam simpanannya dan bukan yang ditemui pada wanita itu bagi menghilangkan rasa curiga rakyat yang ketika ini keliru dengan pelbagai maklumat mengenai rakaman video berkenaan.

Katanya, sebarang pendekatan fitnah, saman atau membuat laporan polis sekali pun akan dilakukan oleh mana-mana pihak demi membersihkan diri daripada tuduhan.

“Sewajarnya ia dilakukan untuk membuktikan suaminya bersih daripada tuduhan yang dilemparkan. Apa susahnya kalau sekadar diminta tunjukkan jam kerana tuduhan terhadap Anwar mungkin betul dan mungkin fitnah. Kita bukan malaikat, hanya Anwar dan Allah SWT saja yang mengetahui keadaan pada masa itu. Tidak perlu takut untuk membuktikan jika memang Anwar tidak bersalah,” katanya.

Kelmarin pada sidang media di kediamannya, Wan Azizah kurang senang apabila wartawan bertanyakan mengenai jam Omega milik suaminya. Beliau dilaporkan berkata jam berkenaan masih ada padanya, tetapi apabila didesak beberapa wartawan supaya menunjukkan jam berkenaan sebagai bukti, beliau enggan dan berkata: “ Why I have to show… are you the prosecutor? (kenapa saya perlu tunjukkan… adakah awak pendakwa raya).

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian, jika ditunjukkan jam tangan itu kepada umum, ia akan menjawab segala spekulasi sama ada ia fitnah atau sebaliknya yang akan memberikan kesan kepada pembangkang mahu pun kerajaan.

“Jika ia sama sekali tidak benar, maka pendedahan bahawa jam itu ada pada Wan Azizah akan mengukuhkan lagi kedudukan pembangkang dan akan memberikan kesan besar kepada mereka yang membuat tuduhan.

“Jadi, mengapa sukar mendedahkan perkara itu kerana sidang akhbar dibuat di rumahnya bukan di pejabat PKR atau di kawasan lain kerana sebelum ini beliau ada mendakwa jam itu ada disimpan di rumah. Tak perlu menyalahkan wartawan bila ditanya soalan sedemikian kerana rakyat juga mahu tahu sama ada ia spekulasi atau sebaliknya,” katanya.

Bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim, berkata beliau tidak terkejut dengan tindakan Wan Azizah yang dilihat cuba berdolak dalih dalam isu jam Omega kerana sikap seperti itu sering berlaku terhadap pemimpin parti berkenaan jika menganggap ia boleh menjejaskan reputasi mereka.

Sambil menyifatkan jam itu seperti jerangkap samar yang dibuat sendiri oleh pemimpin PKR, beliau berkata kedegilan untuk menunjukkan jam kepada umum seolah-olah cubaan untuk menyembunyikan pergolakan yang tercetus daripada kes itu.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu, Dr Hasan Mad pula berpendapat tidak sukar untuk pemimpin seperti Pengerusi DAP, Karpal Singh memanipulasi isu yang akhirnya terus menjadikan budaya politik kotor.

Beliau juga menggesa isu video seks Anwar ditamatkan kerana ia bukan saja memberi kelebihan kepada populariti pemimpin itu, bahkan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara, masyarakat Melayu dan sistem politik negara.

Sementara itu jurucakap The Swatch Group (Malaysia) Sdn Bhd, pengedar jam Omega di negara ini menjelaskan setiap jam Omega mempunyai nombor siri yang dicetak pada jam sebagai jaminan untuk membolehkan pengguna menuntut ganti rugi sepanjang tempoh jaminan dua tahun.

Katanya, nombor siri tidak direkodkan oleh syarikat pengedar berkenaan sebaliknya hanya direkodkan oleh penjual dalam kad jaminan.

 



Comments
Loading...