Video seks: Janggut pula bukti klon Anwar
Oleh Nazli Ibrahim, Free Malaysia Today
PETALING JAYA: Selepas perut, dada dan bahu dianggap sebagai bukti lelaki di dalam video seks bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu lagi analisis terbaru oleh ‘forensik siber’ boleh menyebabkan pihak yang mendakwa lelaki di dalam video terbabit adalah Anwar, mati akal.
Dalam satu artikel dalam sebuah blog, Milo Suam baru-baru ini, pengendali blog terbabit telah memberikan analisa beliau bahawa individu di dalam rakaman video lucah terbabit bukanlah Anwar.
Menurut entri yang bertajuk “Video seks Anwar kantoi kerana janggut”, terdapat bukti jelas lelaki di dalam video terbabit bukanlah Anwar apabila beliau mendapati gambar lelaki tersebut jelas tidak mempunyai janggut.
Menurut entri itu, melalui penelitian beliau, mendapati gambar Anwar ketika menghadiri perbicaraan liwat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Febuari 2011, jelas menunjukkan terdapat janggut di dagu Anwar.
“Video ini dikatakan dirakam pada 21 Februari 2011. Kalau dilihat, dalam video ini, mula-mula Anwar berjanggut pada selang masa 00:04, namun pada babak terakhir selang masa 01:16, lelaki mirip Anwar ini sudah tiada janggut.
“Tidak timbul sebarang persoalan yang besar tentang gambar di atas, boleh jadi lelaki mirip Anwar Ibrahim di atas baru sahaja bercukur di bilik air, maka tidak hairanlah pada mulanya jelas dilihat dia berjanggut, kemudian janggutnya tiada.
“Maka secara logiknya, pada 21 Februari 2011 lelaki mirip Anwar mencukur janggutnya, maka tentulah pada 22 Februari 2011 dia sudah tiada janggut.
“Apa yang menjadi persoalan ialah, Anwar Ibrahim pada 22 Februari 2011 muncul di mahkamah kerana menghadiri perbicaraan tuduhan liwatnya dan kalau kita lihat, jelas sekali beliau mempunyai janggut yang lebat,” menurut pengendali blog terbabit.
Menurut entri di blog itu lagi, pihak yang mendakwa lelaki di dalam video lucah tersebut sebagai Anwar harus membuktikan bahawa Anwar ada menggunakan teknik tertentu bagi membolehkan janggutnya tumbuh lebat dalam masa kurang 24 jam atau memakai janggut palsu ketika berada di Mahkamah.
“Jika anda mahu membuktikan bahawa Anwar adalah lelaki di dalam video tersebut, anda harus membuktikan bahawa Anwar menggunakan ubat atau teknik tertentu agar janggutnya tumbuh lebat dalam masa beberapa jam.
Anwar pakai janggut palsu di mahkamah?
“Mungkin juga anda harus buktikan bahawa pada 22 Februari 2011, Anwar sebenarnya memakai janggut palsu di mahkamah.
Pada masa ini, ulasan yang diberikan oleh blogger terbabit telah tersebar di alam siber termasuk kebanyakan blog pro Pakatan Rakyat termasuk blog terkenal Tukar Tiub, Edyesdotcom.
Selain itu, blogger tersebut turut mengingatkan pelbagai peralatan teknologi canggih pada masa ini yang boleh dimanipulasi untuk tujuan tertentu.
“Ini zaman teknologi, kalau kita lihat cerita Hitler di bawah ini, kelihatan seolah-olah memang Hitler yang berlakon video ini, kerana wajahnya saling tak tumpah seperti Hitler.
“Namun fakta yang harus anda tahu ialah, Hitler dah lama mati sebelum video ini dilakonkan,” tulisnya lagi.
Pada masa ini, ulasan yang diberikan oleh blogger terbabit telah tersebar di alam siber termasuk beberapa blog terkenal Tukar Tiub, Edyesdotcom, Anak Sungai Derhaka, weblog Marhaen dan beberapa blog lain.