Dayak Baru Memberontak
DARI JELEBU
Hishamuddin Rais
Kota Miri kota dipesisiran laut. Kota sempadan. Kota Golok untuk orang Brunai. Bersih, baru dan tersusun. Kota hujung minggu tempat orang Brunai ‘melepas geram’. Cukup jelas watak kota sempadan ini.
Aku ke sini untuk melihat dengan dekat apa yang sedang berlaku di Sarawak. Lebih jujur kalau aku katakan melihat dengan kaca mata aku wilayah disekitar Miri. Secara jujur tak mungkin dalam satu minggu aku mengetahui dan memahami Sarawak. Kalau ada sesiapa yang berkata sedemikian maka orang ini pasti pelebong yang mungkin juga berani mengakui dirinya adalah sepupu kepada Saddam Hussein.
Menginap di sebuah hotel murah tidak jauh dari Bilik Gerak Pusat PKR Miri. Aku sebenarnya memang tidak mengetahui banyak tentang Sarawak. Aku dibesarkan dengan Dolah Sarawak, Siput Sarawak dan Nenas Sarawak – Sarawak-Sarawak yang lain haram aku tidak mengetahui. Susur galur pensejarahan Sarawak tidak juga aku ketahui. Berapa banyak sukubangsa yang wujud di Sarawak tidak juga aku ketahui.
Kalau anak kecil – aku datang ke Sarawak ini seolah-olah untuk disunatkan – agar aku mengetahui lebih dalam dan intim tentang wilayah yang telah menjadikan Malaysia kaya raya.
Malam pertama, aku telah dibawa ke perkampong Kedayan – Kampong Sugai Subak daerah Sebuti. Bersama aku dalam kereta ada dua orang lagi pekerja parti. Seorang aktivis Pas dari Klang dan seorang jurutera aktivis PKR anak tempatan. Aku diberitahu kampong ini dua jam perjalanan ke luar kota.
Kami memulakan perjalanan agak lewat. Kereta kami melintasi kawasan kawasan mewah yang rumah-rumah tersergam indah – sepuluh ratus kali lebih gah dari Country Height Kajang – seakan-akan aku sedang melintasi Sunset Boulevard ke Beverley Hills di Los Angeles di mana bintang Hollywood membina sarang mereka.
Rumah-rumah angkuh, gedang dan bergemerlapan. Siapa agaknya yang bersarang di rumah rumah ini. Pemandu kami – juga aktivis PKR – tanpa segan silu telah bekata semua ini adalah rumah-rumah ‘China Kaya’. Jelas unsur politik Semenanjung di sini.
Kereta kami memasuki luar kota. Kawasan makin gelap. Aku tidak tahu apa yang di kiri dan apa yang di kanan. Sesekali aku ternampak cahaya lampu. Jelas aku di dalam perut hutan Sarawak. Tidak ada kereta yang memotong kami dan tidak ada juga kereta berseliseh. Wah! Aku merasakan amat jauh hendak berpolitik ke kampong ini.
Belum pernah aku merasakan berjalan dalam gelap untuk berpolitik bagini jauh. Dulu di Tenang pernah aku berjalan dari Labis ke Kampong Sawah Baru. Memang jauh aku rasakan – tetapi kali ini beratus kali jauhnya. Memang Sarawak ini wilayah yang maha luas. Dan ramai warganya tinggal di pendalaman. Hendak tahu erti pendalaman datanglah ke Sarawak.
Jalan batu aspal agak baik terutama lima atau sepuluh kilometer dari kota Miri – terutama di daerah rumah orang kaya kaya. Hampir dua jam kemudian jalan semakin rahai. Ini bermakna kami telah mengambil jalan kecil memasuki kampong yang dituju.
Wah! Amat jelas bezanya rumah yang aku lihat tadi dengan apa yang ada dihadapan mata. Tadi aku melihat Istana sekarang aku melihat rumah kotak buruh kontrek bangunan Mat Indon yang didirikan di tepi bangunan yang sedang dibina di Damansara. Aku difahamkan ini adalah perkampongan sukubangsa Kedayan. Nah! Ini lah kali pertama aku mendengar nama sukubangsa ini.
Untuk orang di Semenajung jangan tersilap faham – ini bukan ceramah kelompok – ini juga bukan ceramah umum – bukan forum dan bukan seminar. Ini kerja politik di Sarawak. Bila aku keluar dari kereta yang aku dengar ialah gendang Melayu asli. Bunyi musik seakan-akan Zainurin Mat Dom senang berdendang dengan lagu Alah Emak Kahwinkan Aku.
Cahaya hanya datang dari lampu rumah – justeru kawasan sekeliling agak gelap. Bila aku hampiri maka aku nampak tujuh lapan bayang-bayang sedang bertandak di tengah jalan. Tidak sampai tiga puluh orang yang ada pada pesta ini. Yang aku nampak hanya bayang bayang hitam.
Mata aku mencari arah musik. Wah! Empat orang perempuan sedang duduk di bawah rumah yang bertiang tinggi – mereka memukul gendang dan menyanyi. Bila aku dengar amat jelas pantun pantun mereka adalah pantun perjuangan:
Adik bergendang abang menari
Jangan lupa kepada kami
Bila PKR telah pergi
Adik tinggal seorang diri
Di dalam gelap aku nampak bayang-bayang anak muda yang tersusun berdiri. Lalu aku hampiri. Mereka ini telah mengambil bahagian dalam perlawan futsal anjuran AMK sebelum ini. Aku bertanya-tanya. Semua mereka bukan pengundi. Tiga orang anak muda Kedayan yang aku rapati semuanya telah meninggalkan sekolah dalam umur yang masih muda.
Keciciran! Ini bukan keciciran. Ini dasar Taib Mahmud yang tidak mahu Kedayan ada ilmu dan berpelajaran. Dari segi jumlah sukubangsa Kedayan lebih ramai dari Melanau yang kini berkuasa di Sarawak. Kedayan yang juga beragama Islam ini dilihat oleh Taib sebagai berpotensi untuk melawan hegemoni Melanau.
‘Darik manak?’ perbualan kami yang terputus-putus kerana Kedayan ini memiliki bahasa tersendiri. Mereka berbual dengan aku menggunakan bahasa Melayu yang loratnya tidak pernah aku dengari. Aku selalu tertanya tanya kerana tidak faham buah butir.
‘Apa Keadilan ini?‘ soalan ini datang dari Shahrulnizan anak muda berumur 16 tahun. Dia telah meninggalkan sekolah dua tahun dahulu. Lalu aku bertanya kenapa dia datang ke pesta ini. Jawabnya senang ‘kawan saya main futsal’. Nah! Jelas anak muda di Sarawak perlu disedarkan.
Gendang terus dipalu. Pantun berbals balas. Aku akhirnya bertandak dan berjoget. Malam pertama aku di Miri tidak akan aku lupakan. Bila aku diminta berpantun aku menolak. Entah kenapa lidah aku kelu kerana terlalu seronok dengan pengalaman baru sehinggakan aku kehilangan modal untuk berpantun.
Sebelum hadiah diberikan ada sadikit ucapan dari aktivis PKR – memohon sokongan untuk calon PKR yang juga dari sukubangsa Kedayan. Si Pencermah berucapa dalam bahasa Kendayan. Yang aku dengar hanyalah nama Taib Mahmud yang disebut puluhan kali. Amat jelas kebencian warga Sarawak terhadap Taib Mahmud samalah seperti kebencian warga Malayasia di Semenanjung terhadap Mahathir Muhamad. Taib dan Mahathir ini dilihat sebagai orang jahat di mata rakyat. Dua dua mereka ini dilihat sebagai perompak dan lanun yang mengkayakan anak bini dan kroni.
Tetiba suara halus dari bawah tangga kedengaran. Seorang perempuan meluahkan perasaan tentang bau busuk yang sampai ke kampong mereka. Lalu aku difaham oleh Shahrulnizan bahawa tidak jauh dari kampong mereka ialah tempat pembuangan sampah kota Miri. Aku diberitahu bahawa air sungai telah hitam dan kawasan telah tercemar. Taib Mahmud bukan sahaja meminggirkan Kedayan malah kampong mereka juga diracuni oleh toksik sampah kota Miri.
Tengak hari esoknya aku dibawa untuk melawat rumah panjang pula. Kali ini aku bersama dengan tim perubatan percuma PKR yang datang dari cabang Tuaran Sabah. Tim ini menuju ke Rumah Panjang Logan Talajin – 4 jam perjalanan dari Miri.
Kami meninggalkan kota Miri sebelum jam 1.00 – siang terang benderang. Kami mengambil jalan dipersisiran pantai. Aku merasakan jalan ini telah aku pernah lintasi. Wah! Betul inilah jalan malam kelmarin. Ketika gelap aku tidak nampak pesisiran laut. Rupa-rupanya d isinilah rumah para elit balak dan towkay China yang kaya raya setelah bersekongkol merompak Sarawak dengan Taib Mahmud. Kawasan tepi laut ini idaman mereka. Berapa ramai nelayah telah dihalau dari kampong mereka tidak pula aku ketahui.
Kemudian kami melintasi kawasan sawit, kampong kampong kecil, kampong nelayan. Lagi jauh kami berjalan – jalan semakin buruk. Akhirnya kami sampai ke rumah panjang yang dituju. Aku ternampak kain rentang Barisan Nasinal telah terpasang. Bila aku naik ke tangga aku lihat banyak poster kecil dan besar – poster BN – telah terpasang. Ertinya pekerja parti Taib Mahmud telah sampai ke sini.
Rumah Panjang 33 pintu ini membukakan aku kepada stau lagi dunia yang baru. Tim Perubatan Percuma dari Tuaran amat professiolanl. Mereka terus melakukan apa yang wajib dilakukan. Ibu dan ayah datang untuk bertemu doktor dan mendapat ubatan percuma. Ketika tim perubatan membuat tugas amal, aku meleser melihat rumah panjang yang pertama dalam hidup aku.
Ini kawasan yang subur di itepi sungai. Bila kau hampiri sungai ini amat jelas sungai ini telah berlumpur – seperti air teh susu yang kotor. Di kepala sungai ini pasti ada pembalakan. Ketika aku di tepi sungai itu aku ternampak seorang Ibu Iban sedang mandi bersabun. Saheh! Sungai ini memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat Iban di rumah panjang ini.
Kemudian aku terdengar bunyi mesin. Bila aku hampiri aku ternampkak seorang ayah sedang memesin padi. Mereka berhuma selain dari bersawait. Dari apa yang aku difahamkam orang Iban di sini hanya diberi 300 batang pokok sawit sebagai mata pencarian. Aku tak tahu berapa luas ladang sawit untuk 300 pokok ini. Ada juga warga yang bertanam getah tetapi tidak ramai. Mereka juga berhuma padi bukit. Kebun sayuran tidak kelihatan. Pokok bukan buah ada tetapi tidak lumayan.
Ketika aku mundar mandir di balkony rumah seorang laki Iban datang dan menarik tangan aku. Dia ingin bercerita dan aku pula memang ingin mendengar. Aduh! Perbualan kami terputus-putus sama seperti aku dengan anak muda Kedayan dahulu. Dia menggunakan banyak istilah Iban yang tidak aku fahami tapi nasib baik ada seorang aktivis AMK anak tempatan yang menjadi juru terjemah.
Si Iban ini namanya Jenau Anak Belang. Bila aku tanya umurnya dia berkata telah hampir 80 tahun. Dia gagah dan sasa. Pasti dari darah tani yang hidup berkhidmat setia kepada bumi. Jenau berkesah tentang bagaimana mereka dipaksa berpindah dari kawasan asal mereka pada tahun 1963. Tanah adat merek telah dirampas oleh syarikat balak. Kemudian tanah adat mereka dijadikan ladang sawit. Mereka mengundur ke tepi Sungai Lagan ini.
Ini puluhan tahun dahulu. Jenau anak Belang terus bercerita bagaimana tahun demi tahun mereka cuba menuntut kembali tanah adat mereka – semua gagal.
Kemudian Jenau menyatakan bahawa kali ini secara senyap senyap Rumah Panjang ini akan menyokong Keadilan. Bendera dan poster Barisan yang telah dipasang di kawasan mereka itu hanyalah decoy untuk menyelamatkan Rumah Panjang ini dari dianggap kubu pembangkang. Orang Iban ini telah arif.
‘Ini poleeeteek…ini poleeteek Iban’ Jenau menerangkan bahawa kali ini kemungkian Taib Mahmud akan kalah amat jelas.
‘Sampai hari ini Taib Mahmud tak mahu mengaku yang dia ambil tanah kami’ inilah kata-kata dari Jenau anak Belang. Dia memegang tangan aku dengan kuat. Aku aku ternampak tatoo di betisnya. Lalu aku bertanya apa makna tatoo ini.
‘Ini kail.. tanda aku berani…’ Aku merasa amat gembira dapat bertemu dengan Jenau anak Belang sang pembawa naratif yang menyampaikan turun termurun kesah kesah tanah adat mereka yang dirampas. Ini sejarah rakyat. Ini kesah Sarawak.
Jelas sosok seperti Jenau inilah yang tidak memutuskan tali perjuangan puluhan tahun dahulu. Sosok ini membawa naratif hingga ke tahun 2011. Tahun ini adalah tahun di mana ombak dayak memberontak tidak dapat di kafankan lagi. Tanah adat yang dirampas akan menjadi tanah kubur Taib Mahmud dan Barisan Nasional di Sarawak. Kalau tidak Jenau bukan anak Belang. Anak Belang bermakna anak hariamu yang berani.