Taib Mahmud: Aset atau liabiliti?
Oleh Shen Yee Aun
Kita terlebih dahulu perlu membezakan antara aset dan liabiliti dalam teori perakaunan berbanding teori politik.
Jika kita tidak menganalisis secara terperinci maka kita akan mula melihat Taib Mahmud sebagai liabiliti kepada Barisan Nasional di Sarawak.
Namun kita perlu sedar bahawa realiti politik di Malaysia umumnya adalah berbeza konsep liabiliti dan aset. Kita lihat bagaimana Lim Keng Yaik yang berada pada satu tahap yang menjadi liabiliti kepada Gerakan secara isunya namun setelah Lim Keng Yaik melepaskan kuasanya maka bermulanya kejatuhan Parti Gerakan Malaysia.
Kita juga lihat bagaimana S. Samy Vellu yang menjadi liabiliti kepada Barisan Nasional secara isunya namun selembap — lembapnya MIC hari ini tanpa Samy Vellu. Kita juga lihat bagaimana Ling Liong Sik yang menjadi liabiliti kepada MCA secara isunya namun zaman selepasnya merupakan zaman kemerosotan MCA.
Peliknya juga Chua Soi Lek yang sepatutnya menjadi liabiliti kepada BN pula berjaya menjadi satu aset yang baik apabila MCA semakin sembuh dari hari ke hari walaupun masih berada pada paras yang amat perlahan.
Porto, Inter Milan dan Chelsea sudah tidak lagi menjadi pasukan yang hebat setelah pemergian jurulatih Jose Morinho walaupun jurulatih yang tidak kurang hebatnya sudah diganti dengan pasukan pentadbiran , pengurusan dan pemain yang sama.
Persoalannya kini, siapa pada masa ini yang sesuai untuk menggantikan tempat Taib Mahmud? Siapa yang layak memimpin Barisan Nasional Sarawak berdepan dengan Pakatan Rakyat? Persoalannya kini bukannya baik atau buruknya Taib Mahmud. Hal ini disebabkan ini adalah realiti politik yang perlu diterima oleh semua.
Sarawak mungkin kalah disebabkan Taib Mahmud. Namun begitu jangan lupa bahawa Sarawak tidak semestinya menang juga tanpa Tain Mahmud.
Orang yang baik tidak semestinya menjanjikan kemenangan politik. Dalam jangka masa pendek mungkin membantu tetapi dalam jangka masa yang panjang mungkin memudaratkan . Kita lihat bagaimana Pak Lah yang baik orangnya mencipta dua sejarah dalam sejarah politik di Malaysia. Pertama, kemenangan yang paling besar pada tahun 2004. Kedua, kekalahkan yang paling teruk pada tahun 2008.
Pakatan Rakyat sudah bijak dalam menggunakan peluru menyerang Taib Mahmud secara bertubi-tubi dan menjadikannya sebagai fokus utama walaupun sebelum pilihan raya Sarawak sebelum ini. Namun Pakatan Rakyat lupa letupan yang mampu meranapkan Sarawak daripada Barisan Nasional apabila isu dan sentiment agama dimainkan di negeri Sarawak.
Isu seperti rasuah, penipuan, royalti negeri dan sebagainya adalah isu makro yang hanya akan menjadi makanan kepada pengundi di bandar terutamanya dalam kalangan masyarakat Cina. Pakatan Rakyat perlu memahami terdapat citra rasa dan mentaliti berbeza antara pengundi di Semenanjung berbanding di Sarawak dan juga Sabah. Sentimennya adalah jauh berbeza sekali.
Jika saya adalah Barisan Nasional pada hari ini saya tidak akan begitu risau dengan isu Taib Mahmud kerana paling parah sekalipun BN hanya akan kalah beberapa kerusi. Jika kehilangan 2/3 sekalipun BN juga akan masih memerintah Sarawak buat masa ini. Perkara yang perlu saya risau jika saya adalah BN adalah siapa mampu membawa karisma dan pengaruh Taib Mahmud setelah Taib Mahmud?
Seteruk-teruknya Taib Mahmud sekalipun Umno yang maha hebat bertanding dengan Taib Mahmud di Sarawak juga akan mengalami kekalahan yang amat parah.
Natijahnya , secara isunya Taib Mahmud adalah liabiliti kepada BN. Namun secara politiknya Taib Mahmud masih lagi aset kepada BN.