Perspektif KPRU: Isu Penggabungan Proton-Perodua


Soal survial Proton tidak harus menjadi sebab utama kerajan meneruskan dasar perlindungan sehingga menjejaskan perkembangan industri kereta termasuk Perodua.

By KPRU

PENGGABUNGAN PROTON-PERODUA: SELESAIKAN ISU KEGAGALAN DASAR PERLINDUNGAN DAN POLITIK NAUNGAN DAHULU

Baru-baru ini dilaporkan akhbar bahawa satu Majlis Penasihat bakal ditubuhkan untuk meneliti cadangan penggabungan antara Proton Holding Bhd dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua).[1] Penggabungan ini digemari pihak Proton dan agensi kerajaan berkaitan tetapi menerima bantahan daripada pihak Perodua kerana tidak memanfaatkan pihak Perodua yang sedang beroperasi dengan lancar.

Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) berpandangan bahawa penggabungan tersebut selain menyekat pilihan pengguna dalam pasaran kereta domestik, juga bakal menemui kegagalan sekiranya isu pokok yang menghantui kereta nasional khususnya Proton selama 25 tahun tidak diatasi terlebih dahulu. Isu pokok yang dimaksudkan termasuk dasar perlindungan yang berlanjutan, campur tangan dan naungan politik yang kuatkegagalan pihak pengurusan untuk menggariskan serta melaksanakan dasar industri secara mapan. serta

 

Dasar Perlindungan Berlanjutan

Selama ini, Proton mengaut keuntungan melalui benteng perlindungan, pengecualian cukai, rebat, subsidi dan bukan melalui daya saing sebenarnya. Begitu juga, prestasi penjualan Proton juga amat bergantung kepada akses kewangan yang murah, pakej promosi istimewa dan juga sokongan kerajaan.

Sejak pengoperasian pada 7 Mei 1983, Proton diberikan pengecualian duti import sehingga tahun 1991, dan hanya dikenakan duti sebanyak 13% atas model pemasangan tempatan (CKD – Complete Knock Down) selepas itu, berbanding dengan duti import tipikal setinggi 42%. Perlindungan pasaran tersebut memberikan kelebihan harga sebanyak 24% hingga 64% kepada Proton berbanding dengan kereta bukan buatan tempatan. Dasar sedemikian membolehkan syarikat ini menguasai 65% pasaran kereta penumpang pada tahun 1987 dan 74.2% menjelang tahun 1993.[2]

Perlindungan juga diberikan dalam bentuk geran kajian dan pembangunan (R&D) kerajaan. Misalnya, Dalam Laporan Tahunan Proton Tahun 2008, keuntungan bersih Proton mencatat RM184.5 juta, tetapi dilaporkan juga bahawa geran R&D daripada kerajaan adalah sebanyak RM193.7 juta, iaitu RM9.2 juta lebih daripada keuntungan bersihnya. Andainya tidak dibantu dengan pemberian grant, maka Proton akan berada dalam defisit dan kerugian.[3]

Sesungguhnya, berdasarkan ASEAN Common Effective Preferential Tariff (CEPT), mulai tahun 2003, duti import kereta tidak boleh melebihi 20%. Namun, untuk terus memberikan perlindungan kepada Proton, kerajaan telah mendapatkan persetujuan ASEAN untuk mengecualikan bahan gantian terutamanya dari Thailand daripada penurunan tarif. [4]

Walau bagaimanapun, selepas kerajaan melonggarkan harga kereta dan membenarkan persaingan antara pengedar, penguasaan pasaran Proton telah menurun daripada 74% (1993) kepada 43-45% (2003) dan kini kepada kurang daripada 30%.[5]

Tambahan pula, selepas penyenaraian dan penswastaan Proton pada tahun 1995, peratusan eksport mengikut unit jualan tidak meningkat, sebaliknya menurun daripada 15.8% kepada 14.7%, dan kadar ini turut menyusut secara mendadak selepas itu. Trend ini menunjukkan kebergantungan yang tinggi terhadap dasar perlindungan pasaran domestik (protected domestic market), dan betapa lemahnya daya saing Proton walaupun diberi keistimewaan selama hampir 25 tahun. Apatah lagi jika dasar perlindungan dimansuhkan sepenuhnya!

Namun, soal survial Proton tidak harus menjadi sebab utama kerajan meneruskan dasar perlindungan sehingga menjejaskan perkembangan industri kereta termasuk Perodua. Dalam era di mana daya saing industri kereta Thailand telah mengatasi Malaysia, daya saing Proton akan terus menjadi lemah juga jika sekiranya dasar perlindungan sedia ada diteruskan, sementara rakyat Malaysia terus dibebani hutang kereta yang tinggi.

Read more at: http://kpru2010.wordpress.com/2011/04/26/penggabungan-proton-perodua-selesaikan-isu-kegagalan-dasar-perlindungan-dan-politik-naungan-dahulu/



Comments
Loading...