Eskay cabar Anwar sumpah laknat esok


Beliau mendakwa beliau berani melakukan sumpah itu memandangkan beliau mengetahui identiti sebenar pelaku dalam video itu ialah Anwar.

(Free Malaysia Today) – Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama- sama hadir untuk bersumpah laknat di Masjid Amru Al Ash, Bandar Baru Sentul, di sini esok berhubung klip video seks yang menggemparkan politik tanah air baru-baru ini.

Eskay mendakwa beliau berani melakukan sumpah itu memandangkan beliau mengetahui identiti sebenar pelaku dalam video itu ialah Anwar.

“Tindakan kami atas kebenaran. Saya akan bersumpah bahawa pelaku adalah Anwar kerana saya berada di lokasi dan ada dalam paparan video. Jika Anwar nafi pelaku itu adalah beliau maka hadir esok di masjid tersebut.

“Saya mengundang beliau agar sama-sama dapat melafazkan sumpah laknat selepas solat Jumaat esok di masjid tersebut.

Saya mengajak semua mereka yang ragu mengenai kebenaran ini untuk turut serta dalam upacara esok,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di sini petang tadi.

Beliau berkata dua lagi rakannya yang dikenali sebagai trio ‘Datuk T’, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim akan turut hadir.

Ketika ditanya sama ada ketiga-tiga mereka akan bersumpah laknat, Eskay berkata hanya beliau akan melakukannya.

“Saya yang akan bersumpah. Tapi terpulang keadaan bagaimana……sekiranya diperlukan mereka berdua (Rahim dan Shuib) akan turut bersumpah.

“Saya harap Anwar datang. Saya jemput untuk sumpah laknat dengan saya.

“Saya akan tunggu dia. Jika dia tidak hadir…..biar orang ramai yang tentukan,” katanya.

Menjelaskan mengenai penyerahan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam, Eskay berkata polis mengambil sampel air liurnya bagi tujuan siasatan.

Nafi rakan terlibat dalam muat turun video

Sementara itu, menyentuh soal rakaman video yang  dikeluarkan melalui laman sosial YouTube semalam, Eskay turut menafikan penglibatan rakan-rakannya.

“Terserah kepada polis untuk menyiasat siapa yang muat turun video itu tapi ia bukan dari kalangan kawan saya,” katanya ringkas.

Rakaman video seks bahagian kedua yang diberi judul ‘Papa Nurul Izzah Part II’ itu dimuat turun ke laman sosial berdurasi selama satu minit 47 saat.

Ia dimuat naik oleh individu yang menggunakan nama ‘wakparjosudorno’ serta laman blog seperti Pisau.Net dan Papa Gomo.

Ia dipercayai babak-babak akhir rakaman video asal selama 20 minit yang didedahkan kepada sekumpulan wartawan di Seri Carcosa baru-baru ini.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...