Boleh kah BN menang besar dengan menggunakan isu moral?


Aspan Alias

Nampak cara pemimpin besar kita bercakap dan bergerak pilihanraya semacam dah nak dekat sangat. Kalau dikaji pula cara bergerak pemimpin pembangkang juga menambah keyakinan kita yang waktu untuk memilih siapa yang akan memerintah dan mentadbir negara sudah semakin hampir.

Yang paling menarik sekali ialah isu-isu yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak yang sedang berlumba-lumba mendapatkan keyakinan rakyat semakin panas dan menarik perhatian ramai termasuklah diri saya. Saya dapat agak banyak pandangan dari kawan-kawan yang serius memberi pandangan yang serius baik buruknya sesuatu isu bagi kedua-dua belah pihak itu.

Nampaknya BN/UMNO memberikan keutamaan kepada isu moral untuk menjauhkan pengundi dari parti-parti pembangkang. Isu video seks dan sodomi memainkan peranan utama di pihak BN untuk menagih sokongan yang kian menurun untuk kembali kepada pihak pemerintah kerajaan Persekutuan itu. Ramai pemimpin setiap peringkat BN khususnya UMNO merasakan kali ini isu terhadap Anwar bak kata orang minang merupakan isu yang ‘mangkuih’ bagi BN.

Beberapa pemimpin UMNO yang selalu bersama saya begitu berkeyakinan yang isu video yang dikaitkan dengan Anwar itu akan membawa kembali BN dengan kemenangan di setiap kerusi yang BN telah kalah dahulu. Begitu ‘confident’ sekali mereka ini. Isu moral terhadap Anwar merupakan isu yang memberikan semangat kepada mereka untuk mendapatkan kembali sokongan ramai terhadap BN. Saya hanya mendiamkan diri sahaja kerana keadaan yang sebenarnya berlaku di bawah ini bukannya seperti yang mereka sangka.

Tetapi oleh kerana mereka menganggap mereka pandai dan bijak saya hanyalah menganggokkan kepala sahaja….dan itu pun yang pemimpin-pemimpin UMNO suka…just say ‘yes’. Pemimpin-pemimpin UMNO selalunya berasa rimas kalau kita membuat perbahasan terhadap isu yang mereka bahaskan. Berkata benar adalah satu kesalahan besar kepada pemimpin-pemimpin dan penyokong UMNO dan BN.

Saya cuba juga untuk memberikan pandangan yang beza dengan mengatakan kalau BN menggunakan isu moral untuk ‘admonish’ pembangkang ianya akan merugikan BN akhirnya. Tetapi mereka tetap merasakan mereka telah melakukan perkara yang terbaik buat UMNO dengan menggunakan isu moral untuk menjatuhkan parti-parti pembangkang. Kalau sudah begitu..gasak dialah. Saya hanya berkata dalam hati saya, “May God bless you!”.

Saya hanya berdiam diri selepas itu sambil membaham karipap-karipap tebal yang mereka pesan yang masih ada di hadapan saya itu sampai habis. Habis sahaja karipap-karipap itu saya terus sahaja meminta diri kerana waktu untuk menghantar cucu saya mengaji Quran sudah sampai. Menghantar cucu pergi mengaji lebih berfaedah dari mendengar cerita dongeng yang hanya memberi ‘amusement’ kepada diri mereka sendiri.

Saya merasakan kita hanya membilang ‘buah kerayong’ sahaja setakat ini. Di situ kita menang, di sana kita menang, di sini kita menang besar dan keseluruhannya kita dapat kemenangan 2/3 di DUN Selangor.

Rata-rata di kalangan orang UMNO mereka percaya yang isu moral yang dilabelkan terhadap pemimpin pembangkang itu sangat mujarab untuk mendapatkan sokongan ramai. Kita tidak mengambil isu yang baik dan mengambil isu moral untuk menjatuhkan PR. Sesungguhnya ini adalah isu yang ‘counter productive’ bagi UMNO dan BN kerana ia hanya membuatkan rakyat berasa mual dan jelek. 

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...