An Open letter to Ibrahim Ali


Untuk pengetahuan Datuk, saya akan berhenti makan seketika apabila azan disuarakan jika saya bersama umat Islam. Saya akan menunggu jika bersama kawan-kawan Islam saya pada waktu berbuka puasa dan hanya mula makan selepas mereka membaca doa. Itulah respek saya kepada Islam and umat-umat Islam. Namun, saya tetap akan bersuara menegur mereka jika mereka tidak menghormati kaum, budaya dan agama lain. Saya tidak mencabar atau menghina kaum Melayu atau Islam. Saya hanya menegur perbuatan mereka secara individu, Datuk.

Bagaimana pula dengan Datuk? Adakah Datuk menghormati kaum, budaya dan agama lain?

By Rakyat prihatin

Wahai Datuk,

Terdahulunya, ingin saya tujukan surat ini dalam Bahasa Melayu walaupun penguasaan saya terhadapnya kurang memuaskan. Sebabnya dua sahaja: – Pertamanya, supaya Datuk tidak mengambil kesempatan untuk tidak mengendahkannya atas sebab ia ditulis dalam Bahasa Inggeris. Keduanya, saya menghormati yang Datuk seorang rakyat Malaysia etnik Melayu.

Saya berasa hairan kenapa datuk sering melaung tentang kesucian agama Islam walaupun tiada sesiapa yang cuba mencabarnya. Senario ini lebih ketara selepas isu-isu berkaitan kedudukan Orang Melayu di Malaysia yang disentuh Datuk didapati tidak dapat memikat hati rakyat, walaupun di antara kaum Melayu. Amaran-amaran Datuk yang lebih berbau ugutan didapati tidak mencerminkan situasi sebenar seperti apa yang dirasai rakyat. Sebagai contoh, pertanyaan seorang Timbalan Menteri mengenai isu biasiswa dituduh sebagai mencabar kedudukan Melayu. Dalam pada itu, tiada orang Melayu yang berpendapat sebegitu.

Saya hairan apakah Datuk tidak memahami kaum Melayu? Atau Datuk menyengajakannya untuk memberi satu samaran palsu kepada rakyat, terutamanya kaum Melayu? Bukankah ini namanya provokasi?

Agama, biarpun Islam ataupun yang lain-lain, sepatutnya dipandang suci dan dipraktikkan untuk kesihatan rohani, supaya sesiapa yang mempelajarinya menjadi insan yang baik, yang berguna kepada masyarakat. Namun Datuk sering menjadikannya suatu yang membangkitkan kemarahan rakyat, umat Islam mahupun bukan Islam. Datuk menjadi-jadikan perkara yang tidak berkaitan dan kemudiannya berkeras mengatakan ia benar. Lebih menyakitkan hati lagi, perkara yang belum ditentukan kesahihannya pulak Datuk mula mengugut hendak berjihad. Berjihad keatas apa, Datuk?

Bukan orang Melayu sahaja yang akan mempertahankan Islam, Datuk. Saya seorang bukan Islam juga akan mempertahankannya jika ia difitnah bukan-bukan. Sebabnya senang sahaja – KERANA SAYA RAKYAT MALAYSIA. Tidak perlu laung-melaung, jerit-menjerit atau ugut-mengugut. Perbetulkan sahaja apa yang disalahkan, jelaskan sahaja apa yang telah diragui. Namun Datuk tidak berbuat demikian. Datuk hanya memberi amaran. Dan amaran Datuk lebih berbau ugutan, dan ia tidak berasas. Itu tidak membantu menyelesaikan konflik, Datuk. Datuk hanya akan menambahkan salah faham diantara umat Islam dan bukan Islam.

Menteri Dalam Negeri kita menyatakan bahawa Datuk tidak mewakili semua kaum Melayu. Bahawasanya suara hati Datuk bukan suara hati kaum Melayu. Saya setuju dengan kenyataan beliau kerana kebanyakan seruan Datuk tidak mencerminkan isi hati kaum Melayu. Yang lebih penting lagi, semua laungan dan seruan Datuk tidak membantu membangun kaum Melayu! Apatah lagi membantu perkembangan Islam?

Datuk menyatakan bahawa: “Orang Melayu berjihad mempertahankan Islam walaupun hanya saya seorang”. Adakah ini bermaksud hanya Datuk seorang sahaja yang akan berlawan? Dengan itu, adakah ini bermaksud bahawa kaum Melayu lain tidak bersependapat dengan Datuk? Kalau kaum Melayu lain tidak bersependapat dengan Datuk, adakah ini bermaksud organisasi Datuk tidak lagi berfungsi sebagai pelindung Melayu dan Islam? Ataupun ini organisasi Datuk seorang diri? Sebuah organisasi di mana Datuk memberi pendapat tersendiri Datuk sahaja?

Islam agama yang unik, dan diasaskan dengan ajaran-ajaran yang meyucikan jiwa dan ahlak manusia. Ia tidak memerlukan perlindungan dari sesiapa. Dan tiada sesiapa yang akan berjaya menghina Islam jika ajarannya betul dan benar. Salah faham wujud jika orang yang mengajar agama itu sendiri tidak arif dengan maksud ajaran dan memberi tunjuk ajar yang salah. Ini akan menimbulkan spekulasi dan orang ramai akan menanya-nanya isi ajaran tersebut. Ini bukan hinaan atau tidankan mencabar, tetapi salah faham yang disebabkan pengajaran yang salah. Mereka yang meragui tidak bermaksud untuk mencabar atau menghina. Malah, orang yang memberi ajaran salah itu yang telah menghina reputasi dirinya itu.

Tiada sesiapa di Malaysia yang menghina Islam, Datuk. Jangan pula Datuk sendiri membuat demikian dengan menuduh sebarangan. Dan janganlah Datuk pula sendiri menimbulkan kekacauan dengan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas.

Untuk pengetahuan Datuk, saya akan berhenti makan seketika apabila azan disuarakan jika saya bersama umat Islam. Saya akan menunggu jika bersama kawan-kawan Islam saya pada waktu berbuka puasa dan hanya mula makan selepas mereka membaca doa. Itulah respek saya kepada Islam and umat-umat Islam. Namun, saya tetap akan bersuara menegur mereka jika mereka tidak menghormati kaum, budaya dan agama lain. Saya tidak mencabar atau menghina kaum Melayu atau Islam. Saya hanya menegur perbuatan mereka secara individu, Datuk.

Bagaimana pula dengan Datuk? Adakah Datuk menghormati kaum, budaya dan agama lain? Adakah tindakan Datuk yang terus hendak berjihad terhadap umat Kristian dengan hanya berasaskan sebuah fitnah seseorang yang tidak bertanggungjawab itu cara Datuk menghormati umat Kristian? Patutkah seorang “pelindung” agama Islam itu berkelakuan sebegitu? Fitnah itu tidak membuktikan yang umat Kristian menghina Islam; tetapi sebaliknya Datuk telahpun mengugut umat Kristian secara terbuka. Bukankah patut Datuk meminta maaf daripada umat Kristian atas perkara itu? Ataupun Datuk menganggap Datuk tidak bersalah dengan ugutan itu? Inikah perangai seorang yang “melindungi” Islam?

Siapakah yang menghina Islam dalam situasi ini, Datuk?

Saya berharap mesej saya boleh mencapai hati setiap rakyat Malaysia, biarpun kaum Melayu, atau bukan Melayu. Kita semua hidup saling bergantung, saling berkaitan diantara satu sama lain. Marilah kita semua saling membantu. Tolak pendekatan yang berunsur ugutan, pendekatan yang memprovokasi, yang menghasut, yang saling membenci. Dan hiduplah kita sebagai rakyat Malaysia.

Wahai Datuk. Jika Datuk masih seorang manusia, masih mengikut ajaran Islam. Hentikanlah segala perlakuan yang memaksa, perlakuan yang agresif, perlakuan yang angkuh lagi kasar. Kerana semua ini tidak dapat melepasi mata Allah yang maha esa, yang serba mengetahui.

Sekian, Salam Sejahtera.

 

Yang benar,
Rakyat prihatin.



Comments
Loading...