Politik dan Garis Politik


DARI JELEBU

Hishamuddin Rais 

Justeru untuk saya, perjuangan politik ialah untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk di agih-agihkan kepada rakyat terbanyak.

BANGUN MELAWAN!

POLITIK DAN GARIS POLITIK

Saya selalu membaca dan mengamati tulisan, komentar dan analisa politik terkini tentang negara kita ini. Saya membaca dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris. Ada yang menarik: sayangnya banyak pula yang membosankan. Membosankan kerana sang penulis hanya bergelut dengan personaliti individu – si politikus. Tidak lebih dari itu.

Politik bukan hanya tentang individu. Politik ialah tentang kuasa. Perjuangan politik ialah perjuangan untuk merebut kuasa. Merebut kuasa bertujuan untuk merebut punca-punca ekonomi. Di belakang punca ekonomi ialah kelas. Perjuangan politik ialah perjuangan kelas.

Kelas dan ekonomi tidak dapat dipisah macam santan dengan kelapa. Setiap sosok manusia tergulung ke dalam satu kelas. Secara kasar – ada dua kelas: yang memerintah dan yang di perintah i.e yang berkuasa dan yang tidak berkuasa. Yang berkuasa ialah mereka yang memiliki harta dan kekayaan. Yang tidak berkuasa ialah mereka yang tidak memiliki harta kekayaan dan gulungan miskin.

Dalam sistem ekonomi kapitalis seperti dalam negara kita ini – gulungan miskin adalah kaum tani, kaum nelayan dan kaum buruh. Mereka ini adalah kumpulan terbanyak. Manakala kumpulan terkaya tidak ramai. Kumpulan kaya amat sadikit – mereka adalah kumpulan minoriti. Tetapi mereka menjadi pemilik harta kekayaan yang terbanyak. Justeru melalui harta kekayan, mereka dapat membeli kuasa.

Ini bukan tulisan propaganda. Ini hakikat – fakta saheh – yang boleh di rujuk kepada Jabatan Statistik Negara. Fakta fakta – ekonomi dan kelas ini – menjadi kabur atau sengaja dikaburkan dengan agenda agama, dengan agenda bahasa, dengan agenda kaum dan bangsa. Politik ialah agenda merebut kuasa. Period. Khalas. Agenda-agenda yang lain hanyalah alat dan taktik untuk mengolah persetujuan orang ramai untuk bangun merebut kuasa.

Justeru untuk saya, perjuangan politik ialah untuk melupuskan kuasa kumpulan kaya yang sedikit dan mengambil alih punca-punca ekonomi yang ada dalam tangan mereka. Harta kekayaan wajib diambil kembali untuk di agih-agihkan kepada rakyat terbanyak. Ini seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh kerajaan Selangor. Kerajaan Pakatan Rakyat telah mengambil kembali hak air dari syarikat Syabas dan memberikan secara percuma pada orang ramai.

Justeru berlaku perlawanan yang maha hebat antara Pakatan Rakyat dengan gerombolan United Malays National Organisation di Selangor. Perlawanan ini ialah perlawanan untuk merebut punca ekonomi. Ini adalah perlawanan dua kelas – kelas kaya yang menindas sedang berlawan dengan rakyat. Suara orang teramai – suara rakyat – diwakili oleh Pakatan Rakyat.

Hingga ke tahap ini, jika masih ada penulis dan pemberi komentar politik tidak memahami hakikat kelas dan ekonomi maka si Mamat atau si Minah itu wajib rajin membaca dan mentelaah. Panjangkan akal dan panjangkan ilmu. Sehingga ke hari ini memiliki akal fikrah yang kritikal masih belum dicukai lagi.

Read more at: http://tukartiub.blogspot.com/2011/06/memahami-garis-politik.html 



Comments
Loading...