MCLM Mengucapkan Tahniah Sempena Berakhirnya Muktamar Parti PAS


Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM) menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dalam ucaptamanya sempena Muktamar parti yang berakhir baru-baru ini. Dalam menegaskan komitmen parti terhadap Pakatan Rakyat, beliau menyatakan, “Kita perlu sedar bahawa masyarakat majmuk adalah sebahagian daripada seruan politik dalam Islam.”

Beliau juga menekankan bahawa PAS mempunyai kewajipan untuk membersihkan politik dari “perkara menjijikkan seperti rasuah, politik wang, fitnah, perkauman, penipuan dan segala macam hal yang memalukan bahkan anak-anak yang sedang memerhatikan kita.

Mesej tegas Presiden itu disokong oleh para delegasi dalam pemilihan parti yang menyaksikan perlantikan Mohamad Sabu sebagai timbalan presiden, Salahudin Ayub, Husam Musa dan Mahfuz Omar sebagai naib presiden, begitu juga dengan ahli jawatankuasa kerja pusat.

MCLM dengan ikhlas mengucapkan tahniah kepada PAS sempena berakhirnya Muktamar yang cukup berjaya, yang menawarkan harapan besar untuk Rakyat. Kami yakin saf kepimpinan baru ini akan memandu PAS mencapai matlamat yang dianjurkan dalam pesanan Presiden parti dan seterusnya memainkan peranan yang lebih besar untuk memperkuatkan gabungan Pakatan Rakyat.

Kami berharap dapat bekerjasama dengan PAS dalam pilihanraya umum yang akan datang dengan maksud untuk memulihkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua Rakyat Malaysia.

 

Raja Petra Kamarudin

Pengerusi

 

Haris M. Ibrahim

Presiden

 

Pergerakan Kebebasan Sivil Malaysia (MCLM)

 



Comments
Loading...