Sama Sama Kita Rayakan


DARI JELEBU

Hishamuddin Rais 

Menghantuk-hantukkan kepala sambil menjeritkan ‘aku nak tubuh Negara Islam’ atau tunggang terbalik menjerit-jerit untuk menubuhkan Negara Kristian terbukti bukan satu langkah politik yang bijak.

 

Bila saya melihat dan membaca keputusan pemilihan Pas yang baru maka saya yakin satu ledakan politik telah berlaku. Kemenangan Mat Sabu dan pucuk pimpian baru mengambarkan satu perubahan dasar telah juga berlaku. Mat Sabu dan pasokan yang baru ini hanyalah tanda dan makna manifestasi ledakan ini.

Kemudian, saya membaca laporan Hadi Awang yang mengajukan Negara Kebajikan sebagai garis perjuangan Pas. Bila saya terbaca ini maka jelas telah berlaku satu anjakan dasar yang maha besar. Anjakan ini akan membawa makna politik yang dalam bukan sahaja di Malaysia malah di Asia Tenggara.

Sebelum ‘ledakan’ ini berlalu kita selalu terbaca dan terdengar tentang Pas ke hulu ke hilir menjajakan apa yang mereka panggil Negara Islam sebagai agenda politik. Pelik tetapi benar – ajenda politik Negara Islam ini amat-amat dicintai dan disayangi juga oleh United Malays National Organisation.

Tetapi cinta dan kaseh sayang United Malays National Organsiation terhadap Negara Islam bukan bermakna parti ini akan mengimplementasikan apa-apa dasar yang bersangkutan dengan Islam. Parti ini hanya mendorongkan Pas agar mengambil ajenda Negara Islam ini sebagai garis perjuangan. United Malays National Organsiation akan berjoget dan bertandak – berkenduri dan berkendara – jika Pas terus menerus berlabon dan bergebang tentang Negara Islam. Ini kerana ajenda Negara Islam ini adalah ajenda jalan mati.

Justeru apabila keputusan pemilihan yang terbaru ini diumumkan – saya terbahak-bahak ketawa. Saya ketawa apabila melihat tangisan United Malays National Organisation yang terus merayu-rayu agar Pas tidak meninggalkan ajenda Negara Islam. United Malays National Organisation bermati-matian berusha mendorongkan Pas untuk terus mengambil jalan mati ini.

United Malays National Organisation ini telah lupa bahawa telah berlaku satu kesedaran di kalangan ahli-ahli Pas. Mereka telah sedar bahawa ajenda Negara Islam yang diwar warkan selama ini tidak akan membawa mereka ke gedung kuasa. Mereka juga sedar selama ini mereka sengaja di perangkap dalam kejumudan fikrah yang mengajukan ajenda Negara Islam.

Didalam sejarah politik moden bukan sesuatu yang mutahil untuk menubuhkan satu parti politk yang berasaskan agama. Di Pakistan dan India terdapat parti politik yang berasakan agama – ada yang berasaskan Islam dan ada yang berasaskan Hindu. Di Eropah juga kita akan bertemu dengan parti yang berasaskan agama Kristian.

Memang bukan satu jenayah di Malaysia ini untuk mengajukan Negara Islam sebagai agenda politik. Juga bukan satu jenayah untuk mencadangkan agar Bahasa Melayu akan di gunakan oleh Nasa ketika Nasa menghantar roket ke Bintang Marikh pada tahun hadapan. Dalam konteks ini mengajukan sesuatu bukan salah. Yang dipersoalkan apakah pekara yang diajukan itu masuk akal atau tidak. Diterima umum atau ditolak oleh orang ramai.

Hakiktnya : Islam ialah agama. Kristian ialah agama. Hindu ialah agama. Agama ialah kepercayaan. Agama bukan sistem ekonomi. Agama mengajukan dasar-dasar induk dan prinsip-prinsip besar agar umat dan penganutnya membuat kebajikan dan menegak keadilan. Maka, terpulangkan kepada si penganut untuk berfikir dan merencana satu sistem ekonomi yang terbaik untuk melahirkan masyarakat seperti yang dituntut oleh ajaran agama.

Menghantuk-hantukkan kepala sambil menjeritkan ‘aku nak tubuh Negara Islam’ atau tunggang terbalik menjerit-jerit untuk menubuhkan Negara Kristian terbukti bukan satu langkah politik yang bijak.

Read more at: http://tukartiub.blogspot.com/2011/06/sama-sama-kita-rayakan.html?zx=9c61be0f1dd2824e



Comments
Loading...