Artikel Hasan Ali – Wartawan Utusan buat Laporan Polis terhadap DAP


(Utusan Malaysia) – Wartawan Utusan Malaysia dari Biro Selangor, Abdul Yazid Alias, 31, hari ini membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim bahawa dia menulis berita yang direka-reka berhubung ulasan wakil rakyat DAP itu tentang pengguguran Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali sebagai Pesuruhjaya Pas Selangor.

Abdul Yazid membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 9 pada pukul 3.30 petang dan keluar dari balai tersebut pada pukul kira-kira 5 petang.

Abdul Yazid berkata, laporan tersebut dibuat adalah menafikan dakwaan wakil rakyat tersebut bahawa tiada wartawan Utusan Malaysia menemui atau menghubunginya bagi mendapatkan bahan berita yang tersiar pada Selasa lalu bertajuk `Pengguguran Hasan disambut baik DAP’.

“Saya sememangnya kebetulan menemui Suee Lim pada 13 Jun lalu di sebuah kedai runcit di Seksyen 9 yang berdekatan dengan pejabat Utusan Malaysia di sini dan sebagai wartawan saya mengambil inisiatif bertanyakan pandangannya sebagai wakil rakyat DAP mengenai pengguguran Hasan sebagai Pesuruhjaya Pas negeri.

“Saya sudah lama mengenali wakil rakyat itu dan kami saling mengenali malah saya sendiri sebelum ini pernah menemuinya dan menghubunginya sebagai wartawan Utusan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Laporan polis berkenaan dibuat ekoran kenyataan Suee Lim seperti yang dilaporkan oleh portal berita, Malaysiakini.com hari ini bertajuk, `Berita Palsu: ADUN Sekinchan buat laporan polis’.

 



Comments
Loading...