Himpunan Bersih 2.0 canggah nilai Islam, dakwa YDP Yadim


 

(TMI) Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Datuk Aziz Jamaludin Mhd Tahir mendakwa Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini bertentangan dengan nilai dan etika Islam.

Selain itu menurut beliau, perhimpunan aman anjuran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) merupakan satu helah untuk mengheret rakyat ke dalam kancah politik yang lebih besar.

“Usaha itu merupakan percubaan pemimpin tersebut untuk menguji pengaruh, dan kerana itu sanggup menipu lebih ramai rakyat kononnya, sistem yang pernah memberikan kemenangan kepadanya dulu dan sedikit peluang berkuasa sebagai tidak boleh dipertahankan, ia perlu dirombak dan diberikan jaminan baru sesuai dengan keperluan mereka.

“Pemimpin sedemikian merupakan orang yang tidak mempunyai jiwa perjuangan yang besar, mereka berminat mengadakan rusuhan kerana mempunyai agenda politik yang lebih besar,” katanya dalam satu tulisan disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini.

Aziz Jamaluddin juga menyifatkan penganjuran Himpunan Bersih 2.0 yang turut disertai Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat sebagai satu bentuk anarkisme yang berlaku kali kedua dalam negara selepas 2007.

“Wujud pendapat umum seolah-olah merusuh di jalan raya bagi membangkitkan rasa tidak puas hati mengenai sesuatu perkara sebagai natijah daripada prinsip demokrasi.

“Maka, usaha Bersih untuk menganjurkan perhimpunan jalanan pada 9 Julai ini seharusnya dilihat sebagai suatu bentuk anarkisme yang kembali ingin dibudayakan dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Himpunan Bersih kali pertama diadakan pada 2007, beberapa bulan sebelum pilihan raya umum 2008 yang menyaksikan Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dan memenangi 82 kerusi Parlimen.

Menurut beliau, dalam Islam perjuangan yang bersifat anarkisme tidak sesuai dengan tuntutan agama malah diharamkan kerana boleh memudaratkan termasuk dari aspek fizikal dan psikologi.

Read more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/himpunan-bersih-2.0-canggah-nilai-islam-dakwa-ydp-yadim/



Comments
Loading...