Hutang RM6 bilion: Anak masih tunggu penjelasan Felda


By Zainal Abidin Nor, FMT

PETALING JAYA: Para peneroka Felda di seluruh negara masih menunggu penjelasan yang lengkap daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berhubung hutang agensi kerajaan itu yang berjumlah RM6 bilion dari Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, tidak cukup sekadar mendakwa kedudukan kewangan Felda adalah stabil dan para peneroka tidak perlu bimbang.

Beliau berkata demikian kepada FMT berhubung kenyataan Datuk Ahmad Maslan yang mengakui Felda ada membuat pinjaman RM6 bilion dari KWSP dan menyatakan bahawa kedudukan kewangan agensi itu adalah stabil dan para peneroka tidak perlu risau.

Tegas Mazlan, “sehingga hari ini kita masih menunggu penjelasan yang lengkap dari Ahmad Maslan mengenai butiran pinjaman dan untuk apa pinjaman RM6 bilion itu dibuat.

Kalau dulu, Ahmad Maslan mendakwa salah satu sebab Felda mengalami susut rezab tunai lebih RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun adalah disebabkan perbelanjaan tanaman semula.

“Baru-baru ini, Ahmad Maslan mendakwa sebahagian pinjaman RM6 bilion itu juga digunakan untuk membiayai kos penanaman semula pokok kelapa sawit,” terang beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah parti itu.

Mazlan menjelaskan, sekiranya Felda membelanjakan sebanyak RM4 bilion untuk menjalankan kerja-kerja penanaman semula maka ini bermakna kos seekar menelan belanja sebanyak RM100,000.

Tidak masuk akal

“Ini suatu jumlah yang tidak masuk akal kerana sekiranya para peneroka sendiri yang mengerjakan tanaman semula, ia hanya menelan belanja sebanyak RM10,000 sahaja untuk seekar,” jelas beliau.

Beliau menegaskan bahawa banyak keraguan yang timbul di mana Ahmad Maslan perlu memberi penjelasan yang memuaskan kerana pengurusan kewangan Felda tidak dijalankan dengan telus.

“Keadaan ini juga menunjukkan komitmen kerajaan yang langsung tidak peduli akan nasib para peneroka dan kerajaan dilihat seolah- oleh lebih cenderong untuk menutup segala kelemahan dan penyelewengan yang berlaku dalam agensi itu.

Oleh sebab itu katanya, Anak menggesa satu suruhanjaya bebas ditubuhkan untuk menyiasat pengurusan kewangan Felda yang didakwa mengalami kerugian yang teruk.

 

READ MORE HERE.



Comments
Loading...