PAS S’gor siap 50,000 ahli, amaran kepada Perkasa


 

“PAS Selangor akan turun paling kurang 50,000 orang ahli dalam himpunan Bersih,” kata setiausahanya.

(Free Malaysia Today) – PAS Selangor akan menurunkan hampir separuh  ahlinya di negeri itu untuk menyertai himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai ini.

Menurut Setiausaha PAS negeri yang baru Mohd Khairuddin Othman, PAS Selangor mempunyai 72,000 ahli  dan dijangka akan menurunkan 50,000.

“PAS Selangor akan turun paling kurang  50,000 orang ahli  dalam himpunan Bersih,”katanya  dalam sidang media pertama selepas pelantikan kepimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri yang baru.

Mohd Khairuddin turut memberi peringatan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) agar tidak mengwujudkan provokasi ketika himpunan yang diadakan serentak pada 9 Julai ini.

Beliau turut menasihatkan agar anak-anak buah  Datuk Ibrahim Ali menjaga tingakah laku sepanjang himpunan diadakan.

Selain Bersih, Perkasa dan Pemuda Umno masing-masing akan mengadakan himpunan yang sama pada hari tersebut.

“Perkasa jangan cuba buat provokasi, jangan anggap orang yang turun ke jalanan adalah orang tidak bertamadun.

“Berdasarkan sejarah, demonstrasi yang dianjurkan PAS tidak pernah berlaku kekecohan dan pada himpunan Bersih yang lalu ia berjalan dengan aman dan tidak ada satu pasu pun yang pecah.

Perkasa tidak ramai

“Perkasa ini tidak ramai, mereka hanya cakap…kita tunggu dan lihat nanti dan saya minta Perkasa jaga ahli dan disiplinkan ahli dulu,” katanya.

Bersih bersama Pakatan Rakyat dan aktivis parti bersedia menggerakan Himpunan Bersih 2.0 menuntut pilihan raya adil dan bebas sebagai kesinambungan himpunan yang kali pertama diadakan pada November 2007.

Menurutnya, ahli PAS yang turun menyertai himpunan Bersih 2.0 tidak perlu bimbang sekiranya ditahan kerana pihaknya akan menyediakan khidmat guaman.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...