Kebajikan untuk Semua


DARI JELEBU

Propaganda buah catur mereka licik dan menarik. Propaganda berjalan secara tersusun dan dirancang. Untuk umat Islam telah dikatakan bahawa sistem ekonomi sosialis ini ‘tidak bertuhan’. Kepada kaum tani, pesawah dan peladang dihujahkan jika mereka menyokong kelahiran ekonomi sosialis maka satu ketika nanti bukan sahaja mereka kehilangan tanah ladang malah bajak, kerbau dan isteri mereka juga wajib di kongsi. 

Hishamuddin Rais 

Saya meneruskan tulisan minggu ini dalam usaha saya untuk menerangkan kosep dan falsafah Negara Kebajikan. Saya berharap tulisan ini dapat memberi sadikit pencerahan kepada pembaca yang budiman tentang ekonomi dan politik Negara Kebajikan.

Saban hari kita semua ada membaca, ada mendengar dan mungkin melihat di kaca Tv bagaimana parti-parti politik bukan sahaja di Malaysia malah diseluruh dunia cuba mengajukan dasar ekonomi kepada warga. Justeru perjuangan politik adalah pejuangan untuk merebut peluang ekonomi. Perjuangan politik ialah perjuangan agihan punca-puca ekonomi. Khalas.

Ada dua sistem ekonomi telah diwujudkan dalam dunia ini –  sistem ekonomi kapitalis dan sistem ekonomi sosialis. Dua bentuk sistem ekonomi ini bertentangan antara satu sama lain. Akidah sistem ekonomi kapitalis ialah: keuntungan maksima sebagai pemandu. Manakala akidah sistem ekonomi sosialis ialah : kebajikan ramai menjadi kemudi.

Sistem ekonomi inilah yang melahirkan budaya, yang melahirkan nilai dan mewujudkan lembaga-lembaga daulah. Di hadapan mata kita sekarang – yang berlaku disekeliling kita, budaya kehidupan dalam negara kita ini – semuanya diwujudkan dari sistem ekonomi kapitalis.

Sistem ekonomi adalah injin ketamadunan negara bangsa. Di zaman Firaun – sistem ekonomi feudal telah memaksa warga Mesir untuk menjadi hamba abdi mendirikan Pyramid. Di Tanah Melayu sistem feudal telah membenarkan Raja memungut cukai atau mengambil anak dara yang cun untuk dijadikan gundek.

Sistem ekonomi kapitalislah yang melahirkan budaya konsumer yang kita lihat di Amerika, di negara Arab, di Eropah, di Jepun  dan diikuti di Kuala Lumpur. Tidak ada budaya bangsa atau sosok individu yang akan terlepas bebas dari hegemoni sistem ekonomi. Sistem ekonomi merangkumi semua sudut cabang kehidupan manusia moden.

Di Malaysia kita tidak ada peluang memahami agar dapat menilai apakah dia sistem ekonomi sosialis yang dikatakan ada potensi untuk melahirkan Negara Kebajikan. Kekurangan pemahaman kita terhadap sistem elternatif kepada sistem kapitalis ini memiliki sebab-sebab sejarah. Di zaman Perang Dingin, kuasa Anglo-Amerika terutama Amerika Syarikat negara imperial yang unggul telah menaburkan propaganda untuk memburuk dan menakut-nakutkan rakyat dunia tentang sistem ekonomi sosialis.

Propaganda buah catur mereka licik dan menarik. Propaganda berjalan secara tersusun dan dirancang. Untuk umat Islam telah dikatakan bahawa sistem ekonomi sosialis ini ‘tidak bertuhan’. Kepada kaum tani, pesawah dan peladang dihujahkan jika mereka menyokong kelahiran ekonomi sosialis maka satu ketika nanti bukan sahaja mereka kehilangan tanah ladang malah bajak, kerbau dan isteri mereka juga wajib di kongsi.

Untuk pekedai kecil atau tuan tanah yang memiliki saekar dua kebun getah – mereka ditakut-takutkan dengan kehilangan mata pencarian. Tanah sekangkang kera atau kedai runcit mereka akan dimilik negarakan jika ekonomi sosialis ingin diwujudkan.

Kepada kaum buruh pula mereka ditakut-takutkan yang mereka akan hilang pekerjaan dan hanya akan menjadi ‘kuli batak’. Tenaga kerja mereka akan hilang dan hanya memburuh uintuk memboncitkan perut para birokrat daulah yang tidak melakukan apa-apa pekerjaan.

Propaganda, fitnah dan pembohongan ini dijalan dengan perancangan media yang tersusun. Dengan wujudnya  jaringan pendakwah kapitalis yang diberi upah lumayan. Dengan para kang kong di universiti yang terus besedia untuk menerima upah bersuara. Maka propaganda anti-Negara Kabajikan ini meluas dan melebar.

Dalam negara kita ini – sebut sahaja satu sistem alternatif kepada sistem yang ada sekarang ianya akan menjemput pelbagai tuduhan dan momokan. Warga akan ditakut-takutkan, warga akan diancam dengan pelbagai ancaman jika warga berani memikirkan tentang satu sistem ekonomi yang berkemungkinan melahirkan Negara Kebajikan.

Read more at: http://tukartiub.blogspot.com/2011/06/apa-dia-negara-kabajikan.html

 



Comments
Loading...