Anwar tetap sertai perhimpunan Bersih


(Utsuan Malaysia) – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan beliau akan menyertai perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini meskipun terdapat dakwaan mengatakan kumpulan itu diresapi pengaruh ideologi asing termasuk komunis dan mendapat dana asing.

Sambil menyatakan sokongan terhadap Bersih, beliau menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menyatakan perhimpunan itu tidak ada kena-mengena dengan elemen asing berkenaan.

Malah beliau menganggap ia hanya diada-adakan bagi mengalihkan perhatian masyarakat.

“Ini ada yang kata jadi komunis, pemberontak, menentang Agong (Yang di-Pertuan), pembiayaan dana asing, semuanya nak alihkan pandangan (daripada agenda Bersih).

“Kita tuntut pilihan raya yang bersih dan perhimpunan aman. Jadi izinkan laluan supaya orang untuk rasa (sertai perhimpunan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Wacana Ekonomi anjuran Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor di sini, hari ini.

Sebelum ini, polis telah menahan 31 individu daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) termasuk Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. Michael Jeyakumar Devaraj di Pulau Pinang kerana didakwa cuba menyebarkan fahaman komunis dalam mempromosikan perhimpunan haram Bersih.

Polis turut merampas beribu-ribu risalah berunsur anti kerajaan dan kumpulan itu turut membawa kemeja T tertera gambar pemimpin komunis yang diangkat sebagai ‘kesatria’ termasuk pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD dan Suriani Abdullah.

Bersih juga dikatakan menerima bantuan dana asing bagi operasi perhimpunan haram tersebut yang antaranya dikatakan melibatkan Yayasan Konrad Adenauer dari Jerman dan Yayasan Canadian Allied dari Kanada.

 



Comments
Loading...