Kuat tidak semestinya menang, lemah tidak semestinya tewas


ASPAN ALIAS

Pengharaman Bersih 2.0 yang diumumkan oleh Hishamudin Husein merupakan tindakan yang sangat tercela dari segi moralnya. Ini merupakan satu lagi bukti yang ‘UMNO-led government’ sudah berada di dalam ‘desperation’ dan tindakan untuk mengharamkan Bersih itu merupakan tindakan yang boleh dikatakan tindakan yang diambil oleh orang yang sudah kesuntukan fikiran. Pemimpin-pemimpin kita yang ada nampaknya belum lagi pandai untuk menghadapi krisis kerana krisis yang timbul sedang cuba di selesaikan dengan krisis yang lain.

Ada pihak yang memberitahu yang kerajaan akan meneruskan penangkapan secara besar-besaran terhadap mereka yang bersimpati dengan Bersih semasa Najib tiada di dalam negara dan tidak tahulah samada berita itu benar atau sebaliknya. Apa yang dihasratkan oleh Bersih untuk meminta semua pihak bersama termasuk UMNO dan BN mengadakan rally itu telah dimomokan oleh pihak kerajaan sebagai perusuh dan pengancam keamanan dan tindakan memomokan itu semata-mata kerana takut kehilangan kuasa yang sangat besar nikmatnya itu.

Akhirnya tujuan untuk mengadakan rally secara aman itu telah menjadi isu anti establishment yang dicipta oleh pihak politik kerajaan itu. Hasilnya pihak kementerian dalam negeri telah mengharamkan pertubuhan Bersih ini dan itu mengusik banyak pihak dan rakyat. Penangkapan yang sebegitu ramai oleh pihak Polis itu telah menggunakan ordinan dharurat 1969 dan tidaklah diketahui apa kesudahan yang akan kita hadapi.

Hanya kita berdoa dan sentiasa berfikir secara rasioanl bagaimana rakyat untuk menghadapi tindakan pihak Polis yang dianggap dari segi moralnya sebagai ‘high handed’ ini. Jika Bersih di haramkan maka rally itu akan mudah digagalkan oleh pihak Polis dan saya tidak mahu ramai rakan-rakan yang menjadi mangsa oleh tangkapan pihak berkuasa.

Itulah sebabnya di dalam posting saya yang lepas saya mencadangkan supaya jika seseorang itu masih mahu menyokong Bersih elok diberikan sokongan itu dirumah sahaja. Banyak cara boleh kita lakukan. Oleh kerana pihak kerajaan telah menjadikan isu ini sebagai isu politik, dan sengaja meletakan rally ini sebagai rally anti kerajaan, maka sekali gus ianya menjadikan perhimpunan ini sebagai perhimpunan yang menyemarakan perasaan penentangan terhadap kita dan ini benar-benar menyebabkan kita kehilangan sokongan yang bertambah ketara dari orang ramai.

Segala usaha untuk mengembalikan sokongan ramai terhadap UMNO kembali gagal kerana tindakan negatif kita sendiri. Saya menganggap tindakan ini sebagai tindakan yang tidak berhidayah dan satu lagi yang nyata kekurangan yang ada kepada kita ialah ‘wisdom’m sebagai pihak yang memerintah manusia yang berbagai macam ragam.

Pihak pemimpin-pemimpin UMNO khususnya tidak berupaya menghadapi krisis yang kecil, jauh sekali untuk menghadap krisis yang besar. UMNO telah menggalakan Perkasa untuk melakukan rally untuk menentang rally Bersih yang dari awalnya telah berterus terang untuk melakukannya secara aman. Apa yang dilakukan ini seolah-olah sengaja untuk menjadikan rally pada 9hb Julai ini untuk mengambil kesempatan bagi mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mereka (UMNO) tidak sebulu dengan mereka.

Apa yang mengganggu pemikiran kita ialah apabila memikirkan apalah ‘consequence’ buruk yang pihak kita sendiri akan hadapi. Jika ianya menghasilkan perasaan tidak senang kepada orang ramai rakyat tidak akan memberikan sokongan kepada kita lagi. Dari segi psikoloji nya tidak ada rakyat yang akan memberikan dukongan kepada pemerintah yang tidak tahu mengawal perasaan ramai. Tetapi apabila rakyat tidak berkeyakinan kita selalunya akan melakukan bermacam-macam perkara yang lebih tidak di sukai ramai.

Itulah sebabnya saya berulang kali menyatakan yang untung di dalam isu ini ialah parti-parti pembangkang. Kita tidak sedar parti-parti pembangkang mendapat sokongan orang ramai kerana sikap dan kelakuan kita sendiri. Parti-parti pembangkang tidak lagi payah berusaha kuat untuk memenangi hati rakyat kerana kerja itu semua telah dilakukan oleh pihak kita sendiri. Kita yang memperkuatkan parti pembangkang sebenarnya.

Kita tidak mampu untuk membuatkan orang ramai sayang kepada kita, sebaliknya kita hanya membuatkan rakyat takut kepada kita. Kalau kita berterusan menakutkan rakyat, kita mesti mengakui yang ketakutan itu tidak akan kekal lama. Rakyat akan memberontak di dalam jiwa masing-masing dan itu akan diterjemahkan kepada penolakan di dalam peti undi nanti.

Tetapi oleh kerana pandangan seperti ini tidak mendapat pertimbangan maka jika terbukti kebenaran kepada pandangan ini nanti, ianya mungkin sudah terlambat untuk membetulkan keadaannya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...