Suara rakyat: Bersih 2.0 tewaskan 1Malaysia


Isu dan perkara yang perlu diperhatikan dalam himpunan aman Bersih 2.0 ialah kepelbagaian rumpun bangsa yang menyertainya bagi menyampaikan suara rakyat.

“Terbukti sekali Bersih 2.0 mewakili suara rakyat berbilang kaum daripada Melayu, Cina dan India sebagai rakyat Malaysia,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar).

Justeru, beliau mencabar Najib Razak supaya membuktikan gagasan 1Malaysia benar-benar berlaku dan diperjuangkan dalam perjuangan politiknya berdasarkan apa yang telah berlaku dalam himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Katannya, sepanjang beberapa minggu sebelum 9 Julai, Himpunan Bersih 2.0 telah dimomokkan sebagai pertubuhan haram di kaca mata Najib dengan pemberitaan yang pincang dan berat sebelah.

Sedangkan, menurutnya hakikat sebenarnya Bersih adalah tuntutan dari gabungan puluhan NGO yang berdaftar secara sah dan mereka menuntut supaya wujud pilihan raya yang lebih adil di Malaysia.

“Kemuncaknya  pada tarikh itu juga  merupakan kayu ukur yang penting bagi mengetahui mana satukah yang benar-benar merupakan suara majoriti rakyat Malaysia atau 1Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Beliau berkata, gelombang rakyat yang berkumpul di Kuala Lumpur walaupun berdepan dengan ugutan, sekatan dan halangan dilakukan oleh polis menggambarkan satu ancaman yang baru kepada Najib.

Menurutnya, media pro BN yang cuba menutup perkara sebenar dengan cuma memaparkan berita bohong dengan mengatakan hanya bangsa Melayu sahaja yang menyertai perimpunan tersebut.

“Ia tidak lain dengan niat jahat dan bertujuan memburuk-burukkan penganjur Bersih 2.0,” katanya.

Sedangkan, ujarnya Umno BN sepatutnya mempelawa ahli MIC dan MCA untuk turut serta berdemo dalam kelompok pro BN yang berbaju merah, mereka juga mengaku bahawa kumpulan mereka adalah ejen pertahanan kedaulatan negara tetapi hakikatnya semua kenyataan tersebut layak dibakul sampahkan sahaja.

Menurutnya lagi, apa yang boleh dilihat melalui rakaman yang tersiar dalam media baru seperti Youtube, blog dan sebagainya jelas menunjukkan kumpulan yang menamakan diri mereka sebagai Patriot cuma berkumpul dalam jumlah yang berskala sangat kecil yang terdiri daripada bangsa Melayu sahaja.

“Mengapa jadi begini?” soalnya yang juga Adun Titi Serong.

Katanya, berdasarkan bukti rakaman jelas menggambarkan bahawa kumpulan itu menerima ‘layanan baik’ daripada pasukan FRU semasa mereka berhimpun.

Beliau menambah, kumpulan itu juga sempat melarikan diri setelah gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka berbanding kelompok Bersih 2.0 yang dikejar sehingga ditangkap kemudian dibelasah oleh polis walaupun mereka sedikitpun tidak melawan.

Justeru, tambahnya, Najib sepatutnya merasa malu dengan kumpulan Patriot, Perkasa dan Pemuda Umno kerana jelas ketiga-tiganya dianggotai oleh rakyat yang pengecut dan tidak menggambarkan 1Malaysia seperti yang diperjuangkan Najib sendiri dalam gagasan politiknya.

“Nampaknya Najib keseorangan melaungkan 1Malaysia dalam keadaan sekelompok Melayu sahaja yang masih pertahankan kuasa Umno dan BN,” ujarnya.

Menurutnya, majoriti banga Cina dan India sudah bersama Pakatan Rakyat untuk menghukum BN dalam PRU 13 yang bakal menjelang.

Beliau berkata, Bersih 2.0 terbukti merupakan suara rakyat yang benar-benar tulen apabila ia dianggotai oleh seluruh bangsa dan generasi di Malaysia.

“Suara keramat 9 Julai membuktikan rakyat berbilang kaum mahukan perubahan,” ujarnya.

Beliau menambah, 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib cuma retorik dan pembohongan bagi mengaburi mata rakyat demi meraih sokongan dalam keadaan mereka telah gagal dalam menunaikan amanah yang diserahkan oleh rakyat lebih 50 tahun lalu.

 



Comments
Loading...