Saman Fitnah Terhadap Yayasan Selangor


Menurut Pekeliling Perkhidmatan Februari 2010, Hj Omar layak menerima faedah persaraan sebanyak hampir RM 101,000. Walaubagaimanapun faedah persaraan berkenaan itu ditahan atas arahan Ilham bin Marzuki. 

By Steffan

Hj Omar bin Hasbullah (KP : ******-**-****) dilantik sebagai Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) bertaraf tetap  di Yayasan Selangor pada 16 Februari 2001.

Hj Omar bersara wajib apabila mencapai usia 55 tahun pada 22 Julai 2010.

Beliau menghabiskan baki cuti tahunan bermula 1 Julai 2010.

Sebelum Hj Omar memulakan menghabiskan baki cuti tahunannya, beliau telah diarahkan oleh Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham bin Marzuki untuk memulangkan Toyota Camry BJU 53 milik Yayasan Selangor yang digunanya. Hj Omar telah merayu kepada Ilham supaya dibenarkan menggunakan Toyota berkenaan sehingga hari akhir perkhidmatan beliau. Malangnya Ilham tidak mengendahkan permintaan tersebut. Hj Omar terpaksa menumpang kereta seorang Pengurus untuk pulang ke rumahnya dalam keadaan dukacita dan tidak puas dengan layanan Ilham terhadapnya.

Menurut Pekeliling Perkhidmatan Februari 2010, Hj Omar layak menerima faedah persaraan sebanyak hampir RM 101,000. Walaubagaimanapun faedah persaraan berkenaan itu ditahan atas arahan Ilham bin Marzuki.

Alasan yang diberikan ialah Hj Omar terlibat dalam meluluskan pembayaran tuntutan yang dikemukakan oleh kontraktor dalam kes saman Carrier (M) Sdn. Bhd. terhadap Yayasan Selangor berhubung kerja-kerja menaiktaraf sistem penghawa dingin berpusat Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

ZAH Holding Sdn. Bhd. (452383-P) telah dilantik sebagai Kontraktor Utama oleh Yayasan Selangor untuk menyempurnakan kerja-kerja menaiktaraf sistem penghawa dingin berpusat Bangunan Yayasan Selangor di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Kerja-kerja berkenaan dijadualkan siap dalam masa 28 minggu yakni Ogos 2009. Kerja-kerja berkenaan siap sepenuhnya pada Disember 2009.

Harga keseluruhan kelengkapan yang dibekalkan oleh Carrier (M) Sdn. Bhd. ialah RM 829,600.

Masalah timbul apabila Carrier (M) Sdn. Bhd. telah mengemukakan saman (Mei 2010) menuntut baki bayaran sebanyak RM 550,000 dari Yayasan Selangor. Dalam jawapan balasnya, Yayasan Selangor menegaskan bahawa semua pembayaran berhubung dengan pemasangan sistem penghawa dingin telah dibuat kepada ZAH Holding Sdn. Bhd.

Carrier (M) Sdn. Bhd. mengemukakan surat perjanjian bertarikh 18 Mac 2009 di antara bekas Pengurus Besar Yayasan Selangor, Hj Takril bin Tasuki, Pengarah Urusan ZAH Holding, Ahmad bin Mokmin dan Carrier (M) Sdn. Bhd.

Di dalam surat berkenaan, Yayasan Selangor bersetuju untuk membuat pembayaran secara terus kepada Carrier bilamana perlengkapan dihantar menurut arahan ZAH Holding atau Yayasan Selangor. Dipersetujui juga bahawa Yayasan Selangor akan membayar keseluruhan RM 829,600.00 kepada Carrier (M) Sdn. Bhd.

Perjanjian berkenaan memperakui bahawa sebarang pembayaran oleh Yayasan Selangor kepada Carrier (M) Sdn. Bhd. dianggap sebagai pembayaran Yayasan Selangor kepada ZAH Holding Sdn. Bhd. sebagai kontraktor Yayasan Selangor dan ZAH Holding Sdn. Bhd. kepada Carrier (M) Sdn. Bhd.

Menyedari kepincangan surat perjanjian rahsia ini, pentadbiran baru Yayasan Selangor telah menyaman ZAH Holding Sdn. Bhd. (Mei 2010) untuk mendapatkan balik RM 550,000 yang telah dibayar oleh Yayasan Selangor tetapi tidak dibayar oleh ZAH Holding kepada Carrier (M) Sdn. Bhd.

Yayasan Selangor telah diperintahkan oleh mahkamah untuk membayar Carrier (M) Sdn. Bhd. hutang RM 550,000. Yayasan Selangor dalam proses memulakan prosiding mahkamah terhadap ZAH Holding termasuk penggulungan.

Hj Omar telah mengemukan tuntutan melalui Pejabat Perhubungan Perusahaan Selangor untuk mendapatkan faedah persaraan yang ditahan oleh Yayasan Selangor. Setelah dua sesi di Pejabat Perhubungan Perusahaan Selangor, Yayasan Selangor tegas dengan pendirian untuk terus menahan pembayaran faedah persaraan Hj Omar. Kes berkenaan telah dirujuk ke pejabat Menteri Sumber Manusia untuk tindakan selanjutnya.

Hj Omar telahpun mengemukakan saman fitnah sebanyak RM 1 juta terhadap Yayasan Selangor dan Ilham Marzuki. Sebutan kes pada 24 Mac 2011 di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Kes No. 22 NCVC 286-2011. Hakim Dato’ Lim Yee Lan. Kes ini telah dibicarakan dan keputusan dijangka diumumkan pada bulan Julai 2011.

 

Akan menyusul, “Penyingkiran Timbalan Pengurus Besar (Pendidikan)”.


Comments
Loading...