Bekas menteri: Najib perlu pastikan pilihan raya bersih, Bersih 2.0 ada asas


(The Malaysian Insider) – Seorang bekas menteri kerajaan pusat, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mengingatkan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak agar melaksanakan sistem pilihan raya yang telus.

Abdul Kadir yang juga Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) berkata sistem pilihan raya yang telus adalah asas kepada sesebuah negara yang mempunyai undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Negara kita selama ini telah memuncak begitu lama, negara yang cukup berjaya sebab rakyat berpegang teguh pada semangat kemerdekaan tetapi malangnya sejak beberapa tahun kebelakangan ini (prestasi) kita sudah mula menurun dan secara terang-terangan melakukan perkara-perkara yang pelik,” kata beliau.

“Kadang-kadang kita begitu yakin dan sombong, boleh buat benda salah di tempat yang terang, kami rasakan sudah tiba masanya kita berubah dan kembali ke pangkal jalan,” kata Abdul Kadir sambil menambah, “merdeka bermakna kuasa diserahkan kepada rakyat.”

“Negara ini kepunyaan rakyat… negara ini hak rakyat dan ini asas yang kita perlu ingat, negara ini bukan bapa saya yang punya, bukan Umno yang punya, bukan PAS yang punya, ini rakyat yang punya,” kata beliau ketika berucap pada majlis pelancaran Amanah di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di sini.

Bekas wakil rakyat dari Kedah ini pernah mengetuai Kementerian Pelancongan dan Kementerian Penerangan.

Tegas Abdul Kadir, rakyat tidak akan bangkit menentang kerajaan sekiranya pilihan raya yang dijalankan dibuat secara telus dan adil.

Selain itu jelas beliau, tuntutan yang dibuat Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) ada asasnya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...