Menunggu perubahan yang tak kunjung tiba – AMANAH terpaksa menggerak langkah


Aspan Alias

Pelancaran Angkatan Amanah Merdeka (AMANAH) semalam merupakan satu pengisytiharan bagi kita melakukan perubahan kepada susur galur perjalanan kearah mencapai masyarakat dan rakyat yang berpadu, satu-satunya perjuangan yang diusahakan oleh pimpinan kita yang terdahulu khususnya perjuangan YTM Tunku Abdul Rahman dan sahabat-sahabat pemimpin seperti Tun Tan Cheng Lok, Tun Sambantahan dan yang lain-lain yang bersama-sama membentuk Persekutuan Malaysia dari Sabah dan Sarawak.

Bagi sesiapa yang mengamati matlamat AMANAH ianya merupakan perjuangan dan usaha untuk membina hanya satu matlamat iaitu perpaduan di antara semua kaum yang telah berpecah belah kerana dipecah belahkan oleh pemimpin-pemimpin politik yang terdesak untuk mendapat sokongan. Jika kita telek dan kaji dengan serius sebenarnya perjuangan pemimpin kita terdahulu hanyalah satu, iaitu perpaduan kaum yang hakiki.

Jika perpaduan kaum yang hakiki itu tercapai maka mudah bagi siapa yang memimpin untuk membina negara dalam semua bidang, samada politik, ekonomi, sosial dan apa-apa yang diperlukan untuk kehidupan rakyat berbilang kaum. Semuanya ini telah hampir tercapai tetapi sejak hampir 3 dekad dahulu apabila kita dipimpin oleh pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai nilai sebagai pemimpin yang sesuai dengan keadaan negara kita, maka keadaan beransur-ansur mengalami perpecahan mengikut sentimen perkauman yang menebal.

Kemerdekaan dicapai dengan perpaduan di antara semua kaum. Jika tidak ada perpaduan kemerdekaan berkemungkinan tidak akan tercapai. Tetapi dengan ketelusan dan kejujuran bapa-kemerdekaan kita bersama rakan-rakan seperjuangan dari semua kaum kita telah berjaya membina dengan kukuh asas yang terpenting sebelum negara mengisytiharkan kemerdekaan itu.

Ini sahaja sepatutnya di sedari oleh semua pihak yang perpaduan di antara kaum itu merupakan perkara terpenting dan usaha yang pertama untuk dijayakan sebelum apa-apa perancangan boleh di laksanakan. Kita boleh menggubal apa sahaja dasar yang molek-molek, tetapi jika perpaduan di antara kaum itu tidak wujud segala dasar tidak akan mencapai kejayaan.

Walaupun dasar itu hanya untuk kepentingan pembangunan bagi hanya satu bangsa ianya tidak juga akan berjaya tanpa persetujuan dan restu kaum-kaum yang lain di negara ini. Contohnya DEB yang digubal untuk kepentingan Bumiputra bagi membolehkan kaum Bumiputra berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dahulu pun hanya di lancarkan dengan persetujuan kaum-kaum yang lain di dalam negara kita.

Itulah sebabnya BN telah mencapai kejayaan untuk mendapatkan sokongan bulat dari semua rakyat berbilang kaum. DAN itu pun sebabnya kehadziran wakil-wakil pembangkang di dalam dewan-dewan lagislatif kita boleh di kira sebagai ‘insignificant’. Walaupun dasar itu ialah khas untuk Bumiputra tetapi pimpinan besar kita telah berjaya mendapatkan sokongan dari pimpinan kaum-kaum lain dan mereka bersama-sama memberikan sokongan terhadap dasar yang murni itu.

Semua kaum bersetuju merapatkan jurang berbezaan ekonomi di antara kaum itu akan membawa negara kearah huru-hara dan kepincangan yang akan merugikan negara keseluruhannya pada masa depan. Semuanya ini merupakan ‘wisdom’ yang ketara yang ada kepada pemimpin kita khususnya kapada YTM Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Husein. Nama-nama ini merupakan pemimpin-pemimpin yang berkorban dengan jiwa dan raga mereka tanpa memikirkan kekayaan dan harta yang menimbun untuk keluarga dan sanak saudara mereka.

Tetapi pemimpin selepas era itu tidak berjaya untuk menandingi kesabaran dan pengorbanan mereka , kerana selepas itu pemimpin sudah mula mengendung sekali nafsu untuk membina kekayaan mereka di samping membangunkan negara. Apabila pemimpin sudah ada kepentingan peribadi bermulalah kehilangan kepada nilai dan kualiti kepimpinan kita.

Jika pemimpin seperti Tunku, Razak dan Husein bersara dengan tiada apa-apa kekayaan yang dihimpunkannya pimpinan selepas itu lain pula keadaannya. Pemimpin selepas itu tidak lagi mahu menaiki penerbangan komersial tetapi terbang antara dunia dengan jet-jet eksekutif dan mewarisi kekayaan yang berbillion untuk anak-anak dan menantu mereka.

Di sinilah bermulanya kejatuhan nilai dan moral kepimpinan dan mengasuh rakyat untuk menjadi rakyat yang materialistik dan membiarkan harta kekayaan di kumpulkan dengan apa cara sekalipun waimma dengan rasuah dan salah guna kuasa yang tidak terkawal. Hasilnya kita sedang sama merasakannya sekarang. Politik tidak lagi mampu untuk membina perpaduan rakyat dan pengagihan kekayaan secara ‘equitable’ tetapi telah meruntuhkan segala institusi penting negara kita sehingga memusnahkan segala sistem unggul yang dibina oleh bapa kemerdekaan dan pimpinan kita yang terdahulu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...